Thursday, November 21, 2013

Kau bukan dia. Dia bukannya kau.

Kau pasti mahu sesuatu yang terbaik berlaku dalam hidup. Kau juga mahu sesuatu yang dapat menyenangkan hati. Kemahuan kau ini membuatkan hati sentiasa sayu. Disebabkan kau hanya sendiri memikirkan caranya, bagaimana untuk membuatkan hasrat kau ini tercapai.

Pada ketika kau masih bujang tanpa debunya sayang. Kau mudah mendapatkan hati yang serba tenang. Mudahnya kerana dalam fikiran kau ringan tanpa memikirkan tentang seseorang. Hanya diri kau dan apa yang kau mahu lakukan sahaja menjadi mainan fikiran dan kehendak hati.

Kini kau telah melalui jalan yang baru. Hati kau menebal dengan rasa kasih. Kau tidak lagi sendiri dan akan bersedia memikul satu lagi tanggungjawab.

Menuju ke arah itu, kau pasti akan diuji. Dimulai dengan ujian mudah hingga ujian yang sukar. Tanggungjawab ertinya sungguh besar. Kau harus sedia, sabar dan tabah hadapi segala dugaan, jika kau mahu sesuatu yang terbaik terjadi dalam hidup.

Kau tidak perlu berasa sendiri lagi, kerana kau sudah mempunyai belahan hati. Kau tidak dapat lagi bermudahan dalam berfikir bagi mendapatkan apa yang membuatkan kau senang hati. Meski kau bukannya dia dan dia bukannya kau. Kau harus tetap sedar tentang peranan kau terhadap dia.

Bagaimana kau mahu tentangnya, bukan mengikut dari cara kau. Tetapi mengikut apa yang ada dalam hati kau. Bersih hati kau, bersihlah jua rasa kasih kau padanya. Bersih hati kau, bersih jua perasaan kau dari rasa cemburu, berprasangka dan tidak percaya.

Namun, segalanya bermula dengan niat, bersihkan hati dan kau akan mendapatkan sesuatu yang indah berlaku dalam hidup kau. Lebih manis kau akan mengalaminya dengan seseorang yang akan kau hidup bersama nanti.

Kunci sepi

Di sebalik maksud diam ada sebab yang tersimpan di balik jendela hati.

Masih menyimpan rasa agar tetap terjaga suasana yang dirasakan buat diri untuk tetap terlihat seakan tenang.

Mudah kata, andai mereka masih mudah leka berkaitan tanggungjawab, kasih sayang, tolak ansur dan hormat menghormati.

Maka, ada sebaiknya hati ini terus diam dan kaku sendirian tidak pulang.

Wednesday, November 20, 2013

Putus

Putus harapan.

Jika itu terjadi, kau cuma telah berhenti dari terus berangan. Angan sia-sia yang tanpa nyata kau tidak memberi sedikit usaha.

Putus duit.

Lebih sulit jika tidak mencari dari tidak punya duit sedikitpun. Maka, jangan malas bekerja. Usah memilih. Usahalah dan jangan pernah kau susahkan orang lain. Sedangkan kau masih sihat wal'afiat.

Putus cinta.

Huh. Cinta itu cuma sebuah kata. Kau tidak perlu cinta kalau kau tahu menghargai diri sendiri. Kau beradap. Kau berilmu, kau sudah temui apa ertinya cinta. Pupuklah perasaan kau untuk menjadi baik. Jadi manusia yang berguna, walaupun rupa kau seperti samseng. Asalkan kau menjadi manusia yang disenangi.

Jadi biar sekarang kau berasa seperti putus cinta. Tapi sebenarnya kau sentiasa ada banyak pilihan cinta untuk disambung. Sebelum itu, wujudkan cinta buat diri kau dahulu.

Dosa.

Pantaskah aku ini jadi penghuni surga
Sedangkan ku banyak dosa

Salam ya salam,
Assalammualaikum
Wahai kawanku perkenankan ku
Ceritakan resah gelisah ku

Tentang betapa dekatnya jarak hidup dan mati di dunia ini
Tentang kematian yang setiap saat bisa saja mendatangiku tanpa permisi

Astaghfirullah,

Begitu banyak waktu yang kulewati dengan sia-sia
Hingga tak ada sedikit pun ruang di hati
Kecuali hanya terisi dengan dosa
Dosa kecil dosa besar semua bertumpuk seperti sampah

Yang bisa menguburku dalam liang lahat
Hingga membusuk melebihi sampah

Hingga suatu ketika ku jatuh sakit
Udara dingin terasa menggigit
Dan ku merasa inilah akhir perjalanan hidupku
Yang begitu singkat dan hanya terisi dosa

Takut mati, takut mati, aku amat sangat takut mati
Ku merasa neraka makin dekat dengan jiwaku
Yang tak bisa melakukan apa-apa lagi

Alhamdulillah,
Segala puji bagiMu ya Allah

Yang masih memberi hambaMu
Waktu tuk kembali kepadaMu
Sungguh aku ingin melunasi semua dosa-dosaku
Yang tak bisa kuhitung satu demi satu
Walau aku tahu takkan cukup waktu
Menghitung dosa-dosa yang melebihi jutaan bintang.

Biarlah secukupnya.

Hari demi hari nafsu makan menjadi lemah. Bukan kerana tidak punya wang. Bukan juga kerana tidak berselera. Dan bukan juga kerana mengikat perut.

Tetapi hanya kerana masa. Masa yang lalu banyak terbuang. Masa yang sedang berlaku, sentiasa terbazir. Masa yang akan tiba, tidak pernah akan peka.

Hanya kerana fikirkan lapar, nafsu yang kecil menjadi ganas. Usai kenyang, kau terbaring riang hingga terlena.

Terkadang nasi yang di makan tinggi berbukit, tapi tak habis meninggalkan sisa. Hanya kerana nafsu menjadi jalan memuaskan hati.

Makan memang keperluan. Tetapi jangan lengah menjadi manusia yang kekenyangan dalam kerugian.

Makan makan juga, makanan buat rohani jangan lupa dilaksana.

Janda muda.

Gara-gara janda muda, kau berhenti mencari gadis jelita. Selama ini kau cuba mengorat, tetapi hampa yang kau terima.

Gara-gara janda muda, kau riang memadam duka. Senyuman kau dibalas tanpa paksa. Selama ini kau cuba beri senyum pada gadis cantik, namun wajah mencuka yang terbalas.

Gara-gara janda muda, kau cepat menjadi dewasa. Kau terpaksa berfikiran matang saat berkata-kata. Tidak lagi dapat kau berpelat mesra ketika dahulu kau bersama bekas kekasih yang seusia.

Gara-gara janda muda, kau mulai menjadi lebih baik. Bukan kerana kau mengikut telunjuk, tetapi kau mulai mengerti tentang pengorbanan dan kesungguhan. Selama ini kau juga sering permainkan hati bekas kekasih yang seusia.

Pemimpin yang bersedia.

Kelmarin kau katakan malam sungguh indah. Kerana pada malam itu disinari oleh cahaya bulan.

Semalam kau katakan pula malam sungguh cantik. Kerana pada malam itu dihiasi oleh butiran bintang.

Sekarang kau katakan malam semakin kelam. Padahal waktu ini, bulan dan bintang hadir memeriahkan malam.

Mungkinkah kau berasa sunyi, walau dihadapan kau ada pemandangan yang indah?

Kau bukan sahaja benar terlihat sunyi malah lebih dari itu, tidak dapat lagi percaya pada namanya cinta. Tetapi percaya hanya sebatas hubungan yang masih belum apa-apa.

Kelmarin mungkin segalanya indah. Setiap waktu kau tidak pernah renggang dengannya. Dari terbit matahari hingga kau terlelap lena.

Semalam mungkin kisahnya sedikit manis. Namun kau mulai berasa sedikit hambar. Barangkali dia sudah berasa bosan. Tidak lagi serapat dan semesra seperti kelmarin.

Sekarang, kau tersudut di antara perasaan ingin tahu dan percaya. Akhirnya kau diamkan sahaja kerana takut dikatakan memaksa.

Nikmati sahaja sisa bujang. Usah kau tergesa berprasangka. Dan carilah ketenangan hati di atas sejadah.

Kerana kau perlu waktu untuk bersedia menjadi seorang pemimpin.

Hijrah

Jauh atau dekat, hidup kau tetap terjarak. Tidak lagi dapat melihat keluarga dan sahabat. Selama ini dekat di mata, dan itu membuat kau bahagia.

Begini nasib orang perantau, keberadaan kau menjadi risiko buat hati. Sentiasa mahu terhiba dan rindu yang menyeksa jiwa.

Sehari-hari tidak sama seperti dahulu. Kau merantau demi mencari perubahan. Bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk keluarga yang kau cinta lebih utama, membahagiakan mereka. Namun tentangannya, kau terpaksa hidup sendiri di negeri orang.

Segala cerita yang kau lalui, pengalaman yang begitu berharga. Dahulu kau manja, kini kau tegar menjadi manusia. Kerana kau tahu bagaimana nasib kau kini. Terkadang bernasib baik, terkadang kau bernasib malang.

Usah kau mengeluh dan berputus asa sekarang. Apa pun nasib kau, itu sudah menjadi suratan takdir. Kau harus redha dan sentiasa bersyukur kerana kau sudah menjadi lebih baik dari yang dahulu.

Meski kau masih belum kaya, cukup kau sudah memiliki nilai yang penuh di dada. Nilai kemanusian yang jarang ada pada orang lain. Kesedaran dan tidak lupa diri apabila kau sudah senang dalam hidup nanti.

Dalam pada itu, kau harus tetap bersabar kawan. Tetaplah azam kau, biarlah pahit sekarang, akan tiba jua kemanisan hidup buat kau nanti.

Kau tinggalkan sanak saudara, bukan itu yang kau mahu. Tetapi kerana kau ingin membahagiakan mereka.

Kau tinggalkan kampung halaman, bukan kerana kau tidak betah tinggal. Tetapi kau ingin mencari ikhtiar hidup yang lebih baik.

Kau tinggalkan kasih sayang, bukan beerti kau tega, tetapi kerana kau tabah dan mempunyai cita-cita. Apabila kau sudah berjaya, kasih sayang yang kau tinggalkan tidak perlu lagi menderita.

Bersabarlah kawan. Kau tidak perlu risau dan teruslah bersemangat, kerana kau sudah menjadi orang yang lebih bertanggungjawab. Terutamanya apabila kau tetap ingat diri pada ketika kau mengadu nasib di negeri orang.

Terlalu lama memendam.

Akhirnya bersua kembali, walau hanya memerhati dari jauh. Lalu membuat kau sipu sipu sendiri. Tanpa kau tahu, Langkah kau terhenti.

Lama, sungguh lama tak kau lihat, dia yang dahulu kau mahu. Saat ini, fikiran kau samar. Kadang ingat kadang tidak. Namun kau tetap berani menanya khabar. Itu pun hanya dalam hati. Mungkin kau masih malu.

Sebenarnya kau ingin katakan

"Kau cantik hari ini"

Dan kau suka sekiranya dia tahu, mengenai perasan kau terhadapnya. Perasaan yang telah lama terpendam.

Dia yang kau mahu dulu, masih berdiri jauh dihadapan kau. Dan dia kelihatan lain sekali. Kelainan yang membuat hati kau terusik.

Dan kau suka sekiranya dia tahu. Mengenai jantung kau, yang deras berdegup kencang.

Entah ada angin apa, hari ini kau berasa luar biasa. Pada ketika dia berdiri di sana, kau tetap kaku melihatnya. Begitu juga dia.

Luar biasa aneh kau rasa hari ini. Entah mengapa aliran darah kau seperti berhenti, ketika kau menyambut tatapan matanya.

Namun itu semua tak pernah akan terjadi. Kerana dia tetap tidak tahu. Kau jauh takut mendekati. Hanya berbisik dalam hati tanpa bertindak apa-apa.

Akhirnya perasaan kau tenggelam lagi. Terpendam lebih dalam dari sebelumnya. Kerana dia telah pergi bersama seorang lelaki.

Bersama mereka juga, turut berjalan di antara mereka, seorang kanak-kanak yang comel. Terlihat mereka sungguh bahagia, berjalan seiringan sambil berpegangan tangan. Semoga mereka berbahagia.

Ingatkan kawan.

Kau tidak akan pernah mampu merubah diri orang lain.
Kau juga jangan bermimpi dapat mengatur hidup orang lain.
Yang boleh kau lakukan adalah membuat orang lain sentiasa memberi ingatan kepada kau. Itu tergantung dari sifat kau juga.
Duhai kawanku, duhai sahabatku...

Adakah kau bisa menerima hitam dan putih orang lain?
Dan apakah kau juga dapat menghargai diri sendiri?

Andai itu mampu kau lakukan
Orang yang bergelar sahabat bagi kau dapat sentiasa memberi ingatan
Pada ketika kau lelah menghadapi hari yang sukar mahupun senang.

Duhai kawanku, duhai sahabatku...

Hanya kepadaNya.

Bila hatimu tak lagi merasakan indah seperti biasanya
Bila harimu menjadi hari yang tersepi di dalam harimu
Dan semua waktu yang pergi membuatmu jatuh
Dan semakin, semakin menghilang

Namun

Siapa yang sudi menemani
Siapa pula akan mendengarkan
Setiap keluh kesah mu
Semua yang kau rasa
Adalah perjalanan
Dan pilihan yang ada hanya milikmu

Jangan pernah kau hentikan
Untuk mencari semua, semua jawapan

Mungkin si dia tak pernah mampu berada didekatmu selalu

Tetapi kau harus ingat
Yang Maha Kuasa sentiasa dekat
Dengan hambaNya yang sentiasa
Mengabdikan diri kepadaNya penuh taqwa

Mengadulah, merintihlah semahumu
Hanya kepadaNya.

Nescaya, hatimu akan kuat.

Mudahkan masalah.

Persoalan

Setiap permasalahan ada penyelesaian. Tetapi setiap masalah juga sebelum mendapatkan jalan penyelesaian, terlebih dahulu harus ada persoalan.

Persoalan ini mudah. Dengan dimulai dengan kata soal seperti apa, kenapa, bagaimana, dimana, siapa dan bila? Sebelum itu, sabar harus menjadi ketua dalam memimpin sebarang persoalan. Baru ketenangan dapat dirasakan pada ketika mencari jalan keluar dari masalah. Harus diingat bahawa masalah akan menjadi berganda jika persoalan dilakukan mengikut emosi.

Tenang dalam memahami situasi masalah juga merupakan jalan singkat mencari jalan penyelesaian. Setelah faham, baru segala persoalan dibenihkan pada cerita permasalahan.

Dari segi persoalan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan tekanan jika betul cara soalan yang diajukan. Sebaiknya didahulukan dengan soalan yang mengandungi unsur positif. Baik dari segi ayat mahupun nadanya yang seakan memujuk. Cara ini baik untuk melonggarkan ketegangan masalah yang dihadapi pada peringkat awal.

Apapun, kaedah persoalan untuk mencari jalan keluar dari permasalahan hanyalah sebagai pendorong untuk kita mendapatkan kekuatan semula jadi diri, iaitu tabah.

Seseorang akan cepat luntur semangat ketika hadapi sebarang masalah jika tidak ada sebarang peransang dalam diri. Perangsang yang dimaksudkan seperti kata semangat, kebendaan, impian, dan segala apa cara sekalipun yang dapat memetik suis motivasi bagi individu itu sendiri.

Jalan keluar yang dicari bukan bermakna sesuatu masalah sudah menjadi selesai. Masalah selesai setelah kita tahu apa tindakan yang harus kita perbuatkan melalui persoalan yang telah kita bina sebelumnya.

Jadi, jawapan dari persoalan itu lah yang dinamakan secara kasar sebagai jalan keluar untuk masalah yang dihadapi. Setelah itu bertindaklah dengan waras semoga masalah dapat diatasi dengan bijak.

Tambahan, kaedah ini hanya untuk sesuai untuk masalah kecil sahaja. Bagi masalah yang berat, tak tahulah saya bagaimana nak cuba terangkan caranya.

Saturday, October 26, 2013

Sangkar hati.

Kawan saya bernama Zul. Usia saya kurang 5 tahun dari usianya. Jadi, sebagai seorang pemuda yang penuh santun, saya memanggilnya abang. Barangkali kesantunan antara rakan yang tidak pernah saya miliki ini, saya dapatkan ia dari abang Zul, meski hanya dengan cara menghormati seseorang yang lebih tua dari saya melalui panggilan kata ganti nama.

Bukan susah sebenarnya untuk berlaku sopan. Apalagi apabila bersama kawan sekerja. Pekerjaan yang dilakukan pula membuat diri menjadi keras saban hari. Kerja yang bukan ditiup penghawa dingin, kerja yang bukan di tahap selesa hidup tetapi adalah kerja yang dilabelkan umum sebagai kuli.

Memang setiap pekerjaan makan gaji adalah kuli tetapi kuli yang dimaksudkan saya adalah kuli yang bekerja tak kira apa pun keadaan, tubuh harus kuat sentiasa dan kebal dengan alam.

Lebih perih lagi, jenis pekerjaan kuli seperti saya ini, apabila sudah mencuba berusaha keras sekalipun namun tetap tidak pernah berjaya untuk menjadi kaya. Ditambah lagi, dengan tanpa epf, tanpa kwsp, bahkan cuti tahunan juga tidak ada. Jadi apabila cuti hanya kerana urusan keluarga, gaji dipotong.

"Pada ketika kamu sudah dapat apa yang kamu inginkan tetapi bukan seperti apa yang kamu harapkan"

Kata-kata ini terbit dari mulut kawan saya, abang Zul. Walau ketika itu, dia hanya mengatakan sambil berseloroh, namun tetap berbekas di hati saya. Mungkin disebabkan keadaan saya pada waktu itu sudah berputus asa. Ditambah pula akibat dari kelelahan dari kerja kuli begini, itu sedikit sebanyak membuatkan hati saya terkesan kerana dia juga kerja kuli seperti saya tetapi kenapa dia tetap optimis?

Sebenarnya kita tidak akan dapat tahu samada akan berjaya atau tidak seandainya kita tidak pernah untuk mencuba. Biarpun kita tahu pekerjaan kita ini amat seksa atau setidak setidaknya sebanding dengan pekerjaan seperti buruh, namun itulah punca rezeki kita. Selagi kita tidak hidup menyusahkan orang, kerja ini tetap hasilnya adalah halal walau tidak dapat menjadi kaya sekalipun.

Rupa-rupanya pandangan ini yang membuatkan abang Zul terlihat tenang hadapi kenyataan hidup yang sama saya tempuhi. Kenyataan hidup yang sukar membuat saya lemah dan sering berputus asa selama ini.

Saya bertambah segan dan dalam masa yang sama semangat diri mulai terbit sedikit demi sedikit. Barangkali jiwa mulai menghadam kata selanjutnya dari teman saya ini.

Cuba dan cari arah pandang yang lain. Tak satu jalan menuju ke kecermelangan. Berjaya tanda bonus, kegagalan tanda kamu harus menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

Ketahuilah sebenarnya, apa yang bukan kamu inginkan dari apa yang kamu harapkan adalah yang terbaik untuk kamu. Harapan terkait antara usaha. Kesesuaian usaha yang menuju pada harapnya kita adalah sesuatu yang nikmat untuk diperolehi. Jika tidak, anggap itu sebagai hadiah dari usaha kita sendiri meski bukan seperti yang kita harapkan.

Dan terakhir nasihatnya membuat saya masih teringat hingga kini hingga saya menjadi malu untuk mengakui kebenarannya. Iaitu tentang angan.

Jika kamu mengantuk tapi masih berangan, cuma berangan tanpa menyediakan niat yang bulat untuk mencapai mimpi pada esok hari. Tekad yang masih tergantung di pintu angan yang cuma membuat hati berasa puas, jadi bagaimanalah kamu dapat tidur, apalagi untuk lena?


Monday, October 21, 2013

Yang pertama kali

Debaran yang dirasakan pada 3 tahun yang lalu masih terasa hingga kini. Debaran yang berpunca dari denyut jantung di dada, berdebar tak menentu.

Entah mengapa, hati menjadi sayu berlipat dengan rasa malu tersipu-sipu untuk mengatakan tentang hal yang lalu, bahawa debaran itu datang sebenarnya kerana kehadiranmu.

Sejak mula mengenal kamu meski hanya dari sebaris nama, diam - diam hatiku mengagumi dirimu bahkan menyayangimu.

Untuk pertama kali setelah 2 tahun saling mengenal hanya di balik talian. Kita akhirnya dapat bersua melihat wajah sebenar di balik suara yang sering dahulu mendamaikanmu. Semua itu terjadi di sebuah stesen keretapi. Masih adakah ingatan kamu tentang hal itu?

Buatmu, untuk pertama kali hingga ke detik ini, ku akui betapa kamu begitu berarti. Hingga memuncak sebuah rasa yang ingin selalu dekat dengan dirimu. Maaf andai aku ingin mengatakan sebuah kata manja disini, yang aku tak mahu berjauhan lagi.

Barangkali kamu tidak menyedari bahawa kamu yang pertama di dalam hidup ini, dan barangkali juga kamu pasti merasa seperti apa yang ku rasakan, rindu dan sayang menyeksa diri. Yang pertama di dalam hidup ini juga, kasih dan sayang menerpa diri.

Kuakui, pada ketika jiwa ini penuh dengan rasa kasih padamu, tak sedar bibirku ini menyebut dan memanggil namamu sayang...

Monday, September 17, 2012

Beban yang khilaf

Beberapa kali aku cuba untuk bangkit tapi tidak terdaya tubuh ini menguras kudrat. Mungkin saja lena tidurku telah habis pada waktu orang lain masih nyenyak menyulam mimpi. 

Tubuh kecil ini tetap terbaring lesu di atas sebuah tilam yang tidak seberapa nak tebal. Tidaklah pernah aku berasa lebih selesa selain dari berbaring atas tilam nipis ini. Cukup bagiku ia dapat dijadikan alas untuk tidur dan beristirehat.


Beberapa kali aku mencuba untuk mencari kehangatan dalam malam yang masih memekat dingin ini. Aku selimutkan diri kemas-kemas dengan harapan dapat mengurangi rasa kedinginan. Aku menggigil perlahan. Dingin malam tetap dapat membungkusku bulat-bulat. Mungkin saja selimutku tidak setebal misai teman sekerja. Aku cuba juga untuk hiburkan diri dengan mengingat wajah temanku yang selesa aku panggil dia, Pak Cin.

Beberapa kali aku cuba untuk mengiring ke kiri dan ke kanan. Mencari ruang untuk menambah keselesaan tapi tetap tidak termampu aku lakukan. Bahu ini pasti akan menjadi tambah perih jika tertindih luka dan lebam akibat pekerjaan yang aku lakukan.

Pekerjaan aku lebih mengutamakan bahu untuk memikul barang-barang yang lebih berat dari tubuhku sendiri.

Beberapa longgokan kerusi yang ditindih sebanyak 20-25 buah selonggok menjadi hadaman sehari-hari untuk dipikul. Selain itu, meja dan plywood, antaranya yang paling ringan.

Tidak termasuk lagi besi-besi panjang yang rata-rata sepanjang 20 kaki. Berat yang digalas tidak kurang dari 20 kg. Begitu juga dengan canvas. Canvas yang paling ringan 5 kg, dan yang paling berat, ada yang sampai mencecah 50kg.

Begitulah lumrah kerja si pekerja perkhidmatan bagi pemasangan khemah dan marquee tent, baik untuk kenduri kecil-kecilan sehingga ke majlis besar-besaran.

Namun berat-berat yang sentiasa menjadi sahabat baik bahu ini tidaklah seberat amalan buruk aku sendiri. Aku sedih, risau dan takut kerana berasa kemanakah perginya amalan baik ku?

Berat-berat yang menjarah kudrat tulang empat kerat ini tidak juga pernah dapat mengimbangi beratnya tanggungjawab aku pada keluarga. Aku menangis hiba dari bahana kehampaan diri sendiri terhadap bagaimana caranya kuli seperti aku dapat membahagiakan mereka.

Berat-berat yang sudah menjadikan keringatku mengalir menitik berat atas tanah ini juga tidak sama beratnya hati aku untuk menjaga satu demi satu hati orang sekekeliling dan juga pada diri sendiri. Aku pasrah menyendiri lalu sering membiarkan silaturahmi regang tak mengetat.

Di tempat aku mencari sesuap nasi, di situlah aku menebarkan keringat di serata tanah, pada saat bekerja dipayungi oleh terik mentari, dimandikan hujan jika diri mahu merasa dingin.

Akhirnya aku rebah sendiri. Lalu terbangun awal di saat aku menahan lelah serta perih di setiap rongga badan. Pada saat itu terlintas halus difikiran tentang persoalan yang memukulku menjadi siuman kembali. Bagaimana pula 'kerja' aku pada Tuhan, keluarga dan diri sendiri?

Lamunan aku tersentak lalu padam difikiran, mungkin kerana telah terjurai air mata membasahi pipi hingga terbenam ke rongga telinga.

Akhirnya, dapat jua aku berasa sedikit hangat. Sungguh kehangatan itu hanya singgah di pipi, itu sudah cukup bagi ku.

Kesedaran dari lamunan tadi beransur-ansur mengepam semangatku sedikit demi sedikit. Aku lalu bangkit dengan tegas.

Bangkit untuk sentiasa berada atas jalanNya.

Bangkit untuk tetap kuat dan bersabar dalam membahagiakan keluarga sungguh gajiku tidak seberapa. Asalkan aku tetap berusaha menjaga hati mereka semua.

Dan bangkit dari kelemahan lalu untuk mencapai apa yang aku inginkan.

"PadaMu ya Allah, aku berserah. Aku bermohon keampunan dariMu dan berikanlah aku kekuatan untuk tetap sabar menjalani liku-liku hidup ini agar aku dapat menjadi orang baik dan yang lebih baik."




Thursday, March 29, 2012

Perih dan dingin

Seorang remaja yang telah kehilangan senyumnya masih juga tetap berdiri tegak kebasahan di hadapan pintu rumahnya. Petang itu hujan masih belum mahunya berhenti dari menitik deras membasahi Gombak. Remaja yang masih mengenakan t-shirt putih dan berseluar biru gelap sekolah rendah mendayu-dayu mengentuk daun pintu setelah usai dia menyandarkan basikal di samping rumah.

Dalam hati kecilnya, pasrah mengungguli resah menunggu azab kecil akibat kebandalannya. Mungkin saja dia telah mengetahui tentang amarah sang ibu yang pastinya akan membuka daun pintu nanti. Dalam ketakutan, dia kuat hadapi segala bentuk dendaan kerana dia telah tidak dapat menahan dinginnya lagi air hujan.

Pintu di buka. Mak menunggu sabar di ruang tamu. Gubuk kecil itu dilewati saya terus ke bilik air hingga membawa sekali air hujan yang masih menampung di setiap ceruk tubuh. Kepala saya masih jua tidak mampu menatap wajah mak, takut. Suasana dalam rumah diam sepi, hanya bunyi geselan seluar yg basah masih mengikuti irama hujan deras di luar.

Belum sempat kaki melangkah ke bilik air, zaaaap! Satu pukulan smash dari mak menggunakan penyangkut baju yang sememangnya sudah lama tersidai di dapur.

"Kemana?" Tanya mak.

"Main basikal mak" jawab saya sambil menahan dua rasa, sakit dan dingin.

"Iye, mak tahu main basikal, tapi ke mana?". Mak mahu penjelasan dari apa yang mungkin saja telah diketahui mak dari awal.

"Er, ke Dem mak".

Jawapan jujur saya itu membuat risau dan marah mak makin terbeban di lengan. Saya hidangkan tubuh saya ini agar perit dari dendaan mak dapat melumatkan kedegilan saya. Sungguhpun pedih menghadam kulit belakang tubuh, namun hati saya tetap bahagia.

Mak, anakmu ini hingga saat ini masih rindu suasana dulu mak. Saat mak risau melihat saya berhujan sambil berbasikal bersama teman-teman. Pada ketika itu pula, kebimbangan mak semakin berat apabila mak tahu saya dan teman-teman pergi mandi ke empangan genting klang menelusuri lebuh raya yang masih sibuk dengan kenderaan berat.

Mak, hingga saat ini, kemanjaan anakmu ini tidak pernah sekalipun menguasai perilaku agar menjadi pemuda yang cepat mengalah, malas dan tidak punya hala tuju hidup.

Mak, kerana tangan-tanganmu yang benar membenamkan indahnya kasih sayangmu melalui kerisauan dari setiap perih yang anakmu ini dapatkan dari kedegilannya untuk menjadi pemuda yang kini membuat mak tersenyum bahagia.

Terima kasih mak, walau anakmu ini masih belum terlihat mencapai apa yang diingini, cukup saja di dalam jiwa anakmu yang sulung ini telah mak tanamkan dengan rasa kuat, tabah, cekal akan tanggungjawab menjadi anak yang baik pada kedua orang tua dan abang yang punya sikap menjaga pada adik-adiknya.

Terima kasih mak, atas segala pengertian kehidupan yang baru kini anakmu sedari bahawa dalam keperitan itu ada kedinginan di dalamnya.

Sayang mak ;)

Sunday, March 4, 2012

Minggu lalu

Sungguh gelak tawanya sudah berlalu selama seminggu, namun masih saja ia terus menumpuk dan menepuk-nepuk gegendang telinga saya. Masih jelas terlihat sinar gembira dari raut wajahnya yang selama ini sudah lelah untuk bersedih. Hati saya pula berlagu-lagu saat memerhatikan tingkahnya yang sentiasa riang dan penuh terisi dengan semangat. Pada ketika dia selalu sahaja menambat hati ini dengan senyuman madu sambil menzahirkan risalah hati bertapa gembiranya dia pada seminggu lalu, saat kami berjumpa di tempat biasa.

Kebiasaan seadaanya

Kebiasaannya saya ini amatlah suka berjalan, berjalan kemana sahaja kaki ini membawa. Tidak perlu diingatkan tentang rasa letih ataupun lesu berjalan, kerana sudah menjadi kebiasaan saya berjalan jauh meski tanpa menaiki kenderaan peribadi. Sebenarnya, memang saya tidak punya, namun saya masih punya kesungguhan untuk berada ke mana saja walau jalannya sampai ke penghujung sempadan Macau. Dan itu yang membuat hati saya senang kerana saya sentiasa akan ditemani oleh setiap penduduk bumi yang sebenarnya memberi sebuah pengalaman yang sangat memberi erti dalam jiwa saya yang mahu membesar ini.

Tempat biasa

Minggu lalu adalah minggu yang ketiga saya berpeluang merasai lagi damai dari wajah yang sentiasa menenangi hati saya yang sentiasanya mahu gusar dan gundah. Keretapi jualah yang menjadi pilihan utama saya untuk digantikan sebagai langkah yang panjang lagi cepat untuk berjumpa dengan seseorang yang membawa damai yang saya cita-citakan itu. Untuk kali ini, perjumpaan antara dia dan saya sudah mencapai hat trik. Mungkin saja ia sudah menjadi tempat biasanya kami sering berjumpa, iaitu sebuah tempat terbuka untuk umum dan berada berdekatan dari kediamannya.

Mungkin hanya hat trik

Hidup ini terkadang sikit rumitnya. Bila kita mampu dan masih mengekalkan paras sukar yang dirasai dulu ketika kita sudah berasa senangnya hati hingga bisa merasai dinginnya awan di dada langit. Namun kini, kata-kata ini selalunya hadir setelah khilaf menjadi pendahuluan tingkah saya, perilaku yang salah. Akhirnya, saya tahu dan sedar mengenai kesenangan hati yang saya rasai itu tidak sama seperti 'senangnya' hati orang tua yang memerhati.

Akhir kalam, saya mengerti satu perkara. Nama saya mungkin menjadi suara yang merdu di telinga sang penjaga jika saya menyebut nama mereka dengan penghormatan dan kasih sayang. Hati orang tua juga mungkin akan berasa rindu mendengar suara saya jika saya mengatakan hal yang baik tentang mereka. Ketika kata-kata yang baik itu dihidangkan penuh dengan kelembutan seperti lembutnya gusi menerima tajakan gigi yang keras. Mereka juga pasti akan rindu melihat wajah saya, jika saya menghiasinya dengan senyum yang mewakili keluasan hati saya yang tulus mencintai seluruh keluarga dari seseorang wanita yang saya cinta. Moga-moga hati saya yang meredup dingin ini dapat mereka terima segala kekurangan dari saya.

Mereka juga pasti akan merindui salaman pemuda ini jika sentuhan saya sentiasa mengirim doa dari hati saya ke hati mereka. Dan terakhir adalah tentang sebuah pertemuan dan kehadiran tubuh kecil ini di hadapan mereka. Mereka juga telah saya pastikan akan merindui kehadiran saya jika hadirnya saya nanti membantu mereka berdamai dengan masa lalu mereka, mensyukuri hidup mereka hari ini dan terus bersemangat menyambut kemungkinan baik mereka terhadap saya di masa depan.- ayat inspirasi dari seseorang yang berjaya.

Namun

Kekuatan saya masih belum cukup kuat dan utuh untuk mula menyemai benih kerinduan mereka terhadap saya. Saya harapkan doa semua orang. Saya mahu semuanya suka dan bersedia menyediakan tempat buat saya walau sekecil bintang yang di pandang dari permukaan bumi. :|



Friday, March 2, 2012

Dingin di waktu ini

Waktu sepertiga malam sungguh ketara terasa suasana damainya apabila telinga ini masih tersisa dengan bingitan dari riuhnya suasana di tempat kerja petang tadi.

Waktu begini, terkadang fikiran di dalam kepala selalu sahaja dapat merewang ntah ke mana. Lalu dibiarkan kosong tidak bersisa. Syukurnya, ketika setiap bebanan yang selama ini masih tersidai di dalamnya, dapat jua akal terisi dengan fikiran yang murni.

Fikiran terhadap fikiran mengenai apa yang difikirkan. Setiap masalah yang membuat hati menjadi resah, hidup pula terasa serba salah dan apa-apa perkara yang menjadikan akal tumpul berfikir mencari jalan memecahkan kebuntuan.

Waktu yang sebegini damainya, sangat hebat akal menghadam setiap keruhnya hati ini. Mudah menelusuri setiap apa dan bagaimana harus diperbuat dalam mencari erti menapis fikiran menjadi murni.

Benar kata ibu, setiap tindakan yang baik adalah berpunca dari fikiran yang baik. Bila baik hati dan fikiran, sangatlah jelas dan puas terhadap apa yang akan kita kerjakan.

Akan aku hargai waktu sepertiga malam ini dengan sebaiknya :)

Thursday, February 16, 2012

Kembali

Hadir kembali di ruangan kecil ini yang hanya muat-muat untuk aku sendiri. Pada suatu ketika dahulu, sering saja ada pelbagai cerita telah aku kisahkan di sini. Saat itu hati ini selalu sahaja berasa mahu mengungkapkan sejuta kata. Meluahkan segala-galanya. 

Namun, tiba-tiba aku terhenti dari menulis. Terhalang oleh sebuah empangan yang besar, membuatkan aku langsung tidak bermaya lalu mundur semua semangat untuk aku terus berbagi cerita dan segala macam yang ada di benak. Mungkin saja mahu berehat sebentar setelah lelah menelusuri resahnya hati.

Kini, aku sudah kembali. Mahu melanjutkan kisah yang telah lama aku diami. Sebuah cerita yang pastinya bukan dalam bentuk cerpen, novel mahupun diari. Tapi, lebih mudah ku ungkapkan di sini, menulis tentang hadirnya langkah kaki untuk lalui sebuah perjalanan yang masih jauh. Penuh dengan kiasan tentang bagaimana mahunya aku untuk berterus terang tentang matlamat aku dalam mencari damai seorang pemuda yang masih bujang hingga ke cerita hayat yang masih tersisa.



 

Wednesday, November 23, 2011

Bukan seco'et tapi cukup segengam

Memang sukar bila hidup selalu jadi buruan fikiran. Semakin lemah langkah kaki untuk berlari dari kenyataan. Suatu yang amat melelahkan, ketika berlari dari fikiran sendiri. Ingin benar rasanya hati menjauh mencari tempat yang sunyi, kelam dan dingin.

Luas dan tenang

Di tengah padang, cuma ada rumput yang menghijau. Sama seperti di ruang hujung dan hulu padang. Begitu juga di setiap sisi padang, semuanya ada rumput. Tidak kira seluas mana padang itu, yang hanya ada di atasnya, cumalah ada rumput yang pendek lagi hijau.

Seperti aku, yang sedang berdiri di tengah padang. Berdiri tegak mengadap kiblat. Merasai angin yang datang dari arah timur, menerbangkan sedikit rambut yang sering malas disisir. Ketika sedang berdiri sendiri di tengah padang di suatu petang, aku mendongak dan memacu pandangan ke langit.

Awan terlihat samar-samar berarak. Angin berhembus kencang di atas dan meniup perlahan di permukaan. Sekali sekala, tempias tiupan angin itu terkena di seluruh tubuh kecil ini. Membuatkan hati ku teduh dan mahu saja merebahkan badan ke atas padang yang merumput hijau ini.

Melempar fikiran

Ketika petang yang dingin masih punya waktu lagi sebelum hadirnya senja, aku mencuba merenung tajam langit yang luas oleh mata yang redup. Seredup awan yang semakin berat untuk berarak. Semahunya fikiran aku turut mahu berarak sekali bersama kawanan awan tersebut. 

Biar rasa diri ini tertinggal di permukaan dan menjalani hari seperti biasa. Tanpa terlihat lagi fikiran yang telah terbawa oleh kawanan awan yang sedang berarak tadi. Sebaiknya begitu, dari aku terus melemparkan fikiran ini begitu saja, hingga nanti pasti bisa membuat aku menjadi sakit. 

Risau

Habis resah menelan jiwa yang diam. Sedang elok tersenyum riang, fikiran yang datang, membuat aku kembali suram. Fikiran tentang segala fikiran yang hanya ada kata kerisauan. Risau bertumpuk menimbus seco'et rasa bahagia baginya. Sungguh aku rasa bukan seco'et, tapi seluruh rasa suka bila sudah bersama di sisinya nanti adalah lebih dari apa yang aku perlukan untuk menjadi orang yang paling bahagia.