Sunday, November 13, 2011

Kak Maa

Sabarlah ketika kamu sudah terbiasa bersabar. Tenanglah, ketika kamu juga sudah terbiasa berwajah tenang saat alami sebarang musibah. Tersenyumlah, walau terkadang kamu sudah jerah dengan apa yang selalu membuat kamu berasa lelah.

Buat seseorang
Kakak pemberi teladan
Walau senyumnya jarang
Tetap menunjukkan kegembiraan

Ketika usia meniti hampir dipertengahan jeti. Kelihatan redupnya onak duri. Selama ini menusuk di liang roma hati, meninggalkan tusukan pedih yang perih. Namun kini, rasa itu telah pergi, walau duri-duri itu masih tertinggal sisa di hati.

Bila nafasmu terhirup menggantikan usia yang menjengah esok. Bersyukurlah, masih ada terlihat di anak mata, tatapan pertama pada kedua orang tua. Mereka jelas berasa bahagia walau hati sentiasa risau melihat kebahagiaanmu.

Bahagianya kamu, menafikan setiap apa yang kamu ingini. Dalam hidup, sentiasa resah walau lagaknya ada terlihat ketenangan di wajah. Begitu terlihatnya kamu saat berdiri disamping sisi kiri adikmu yang cumil :3

Belahan jiwa yang di cari

"Kakak ku yang masih punya rindu pada belahan jiwamu. Hal yang terpenting, bukanlah pada orang yang kamu harapkan menjadi belahan jiwa, tapi adalah padamu yang akan jatuh cinta kepadanya.

Jika kakak ku ini tidak membeningkan hati, menjernihkan fikiran, dan tidak mengendahkan perilakumu, maka kakak akan mudah jatuh cinta kepada peribadi yang akan mengecewakanmu"

Ketahuilah, belahan jiwamu hanya seindah jiwamu.

Berhenti sejenak
Bukan pengakhiran sebuah cerita
Melangkah setapak
Di hadapan menanti sebuah cita-cita

Tidak mampu melihat tembus.

Di wajah masih terlilit rapi setiap rahasia hati. Di kunci serapat-rapatnya agar tiada yang mengetahui melainkan hanya padaNya, kamu berserah segalanya. Masih terlihat sunggul. Tidak mampu terlihat jelas, bagaimana mahu bercerita lanjut mengenaimu.

Cuma, di setiap sisi manusia. Ada baik dan buruk saling mengimbangi. Sifat yang jelas ketara dipertunjukan oleh setiap manusia yang bernyawa. Dan itu, tergantung pada apa dan bagaimana tempat di mana kamu berada sekarang. Paling jelas, adalah menjadi seorang kakak yang tegas.

Tegas

Tegasnya kamu saat suka akan menjauhkan segala kemurungan orang sekeliling. Tidak suka akan hal yang membebani kepala. Masalah remeh menjadi hembusan bersahaja. Tidak perlu mendekati sekelumit resah dari permainan jiwa, yang telah hampir memusnahkan segala apa yang kamu harapkan dahulu.

Kesedihan itu sudah menjadi lumrah. Fitrah setiap insan yang ada hati dan perasaan. Namun kini, kesedihan itu kamu mampu menjadikan ia sebagai kebahagian. Mungkin saja kesedihan itu tidak mampu lagi menggoyahkan hatimu kini yang sudah kuat menjadi cekal.

Teringat saya pada nasihat seorang teman. "Sesungguhnya, tugas utamamu bukanlah untuk menemukan kualiti-kualiti hebat yang akan memberi kejayaan buatmu, tapi mengenai sifat-sifatmu yang mencegahmu dari mencapai apa yang kamu inginkan. Bukankah kamu sudah sedar dan tahu sesungguhnya, bahawa kamulah pembatal utama dari semua perancangan dari niat hatimu yang baik?"

Maka, teruskanlah wahai kakak ku, jangan pernah berfikir untuk menyerah, kerana jika kamu mahu berusaha dengan kemungkinan yang ada, Allah akan membantumu melaluinya.

Tersenyumlah walau sedikit. Itu sangat memberi erti bagi mereka yang mahu mengerti dan menyayangimu melalui apa yang ada di hati kecilmu. Sungguh angan tidak pernah mahu mengiringi benak fikiranmu lagi. Tapi cukup diketahui, kamu seorang yang amat tabah dan bersedia harungi segala rintangan hidup.

Kamu tidak akan dapat mengubah masa lalumu yang buruk, tapi kamu dapat mempersiapkan masa depan agar menjadi lebih baik :)

Di kala angin masih menyepi
Ingin aku leraikan kata dari hati
Tapi tidak termampu lagi
Cukuplah sekedarnya ini

Ikhlas dari Adi...

Wednesday, November 9, 2011

Senyuman tenang dari ibu

Waktu bergulir cepat. Jemari ini masih kaku mahu menaip apa. Fikiran juga turut melayang entah kemana. Hati ini terlalu riang untuk diam berbicara. Oleh itu, tulisan yang menjadi hobi di waktu hati perih telah jauh terlupakan, hingga lupa apa itu yang dikatakan kesedihan.

Kesedihan itu mungkin saja sudah hampir menghilang, tapi tetap juga hati ini mahu berasa muram. Begitulah caranya saya agar tidak mudah menjadi lupa diri, apabila rasa gembira dan bahagia mula berdansa di jiwa memberi hiburan hati.

Dulu-dulu, jemari jadi pengganti bicara. Pada saat hati ini mahu meluahkan semua yang di rasa. Kini, bicara saya sudah menjadi sedia kala. Menukar laluan dari minda ke butiran kata. Tidak lagi karangan jadi penghubung utama, antara dia dan saya.

Namun di saat tulisan diperlukan. Itulah waktu saya sedang berduka. Suka dengan sifat diam, bukan bermakna meminggir dari masalah. Dalam diam saya mencari penyelesaian tanpa masalah. Ketika diam juga saya mampu berfikir dengan tenang dari hati yang kelam.

Mungkin inilah pelajaran dari ibu sejak saya darjah enam. Masih memberi ingatan yang sangat panjang. Waktu itu, saya punya masalah dengan keinginan seorang budak, hingga meradang hentak-hentak kaki memberontak.

Lalu, hadir ibu menatang mata saya sambil menghadiahkan penglihatan saya dengan sebuah ukiran senyuman, senyuman yang amat tenang. Ibu mendatangi saya dengan sekumal kertas yang telah dikoyakkan dari buku sekolah saya. Sebenarnya buku itu sudah menjadi buku conteng-conteng saya. Buku yang biasanya menjadi tempat saya melemparkan rasa bosan, maklum dulu belum tahu apa itu facebook, di atas buku conteng-conteng itulah saya selalu mengatastarikhkan status saya.

Setelah ibu menyediakan sehelai kertas kumal dari buku conteng-conteng saya, ibu turut sertakan juga dengan sebatang pensil. Ibu kata, tulislah apa yang dirasakan tidak kena di hati di atas kertas ini. Tulislah semua masalah yang membelenggu diri hingga membuatkan kaki kamu itu berjoget sendiri. Perli ibu tentang perlakuan saya yang suka menghentak-hentak kaki di atas lantai simen.

Lalu, saya dengan wajah masih tidak mengerti apa. Menuruti apa yang dibilang ibu. Pada saat saya sudah siap menulis, ibu munyuruh pula saya merenyuk-renyukkan kertas tersebut yang terkandung semua masalah yang membebankan jiwa budak sekolah rendah ini.

Saya akur dan menurut segala arahan ibu dengan baik. Perintah ibu amat lembut dan bernada seseorang yang mengetahui sesuatu lebih dari apa yang saya tahu. Saya renyuk dan pulas-pulas kertas tersebut semahu-mahunya hati, berharap juga renyukan saya akan menjadikan kertas yang mengandungi segala bebanan masalah saya menjadi hancur lumat.

Setelah puas merenyuk-renyuk dan memijak-mijak kertas itu beiringan hilaian ketawa seram, ibu memerintahkan saya agar kertas tersebut dilemparkan ke dalam hutan di belakang rumah. Jauh saya lempar hingga hilang dari pengamatan penglihatan.

Pada saat kertas itu sudah tidak terlihat lagi, waktu itu juga luruh semua bebanan anak kecil ini dengan tiba-tiba. Terasa sejuk pula melihat ibu tenang memandang saya dengan senyuman yang manis. Sedar saya, kesusahan itu tidak perlu disimpan walau jelas kita merasa kurang dari apa yang kita mahu atau inginkan. Itulah kata pergulungan ibu terhadap setiap tindakan yang telah diajarkan tadi pada saya. 

Ibu menambah dengan sebuah bicara dengan nada yang agak lembut. Pada diri ini, kekurangan kita adalah kelebihan kita sendiri. Di mana kita mulai berasa susah, ketika itu kita mulai mengerti bagaimana mahu menyalurkan rasa kesyukuran.

Bersyukur saya kerana di beri sebuah pengertian tentang hidup, bila saya mula tahu dan sedar salah yang telah saya buat hingga sampai memberontak hentak-hentak kaki, baru saya mengerti tentang apa yang ibu katakan, sebenarnya, bukanya ibu tidak mahu membelikan apa yang saya mahu, dan bukan saja ibu tidak mampu. Tapi ibu mahu saya sedar, agar menjadi seorang anak lelaki yang baik dan harus kenal erti susah, iaitu susah dalam mendapatkan sesuatu agar tercipta daya usaha untuk mendapatkannya. Ibu juga secara tidak langsung telah memberi tunjuk ajar pada saya, tentang bagaimana mahu menjadi seorang anak yang tahu diuntung.

"Susah tidak selamanya susah, andai hati murni dan sedia mencari setiap inci ikhtiar hidup. Ada yang lebih susah lagi dari kita, sesusahnya kita tidak sebanding dari kesusahan orang lain, penting, tidak menyusahkan orang" Tambah ayah dari belakang...... :)



Friday, November 4, 2011

Nanti tiba jua

Sudah siap sepenuhnya ruang untuk berbicara. Selama ini masih tercari-cari apa yang mahu di kata. Mungkin saja hati ini selalu ceria, jadi tiada apa yang mahu diluahkan di blog suram ini. 

Namun, semalam mungkin ada sedikit peristiwa. Saat hatinya telah aku calitkan sedikit rasa duka. Ketika masih menyoal si dia dengan soalan yang sama. "Sayangkah?"

Sudah maklum di hati dan jiwa, dibenarkan pula oleh fikiran yang matang bahawa dia memang tulus dan ikhlas menyayangi diri ini apa adanya. Tapi, masih juga menjadi persoalan bagi aku. 

Persoalan itu terkadang selalu sahaja ada perkara yang terkait antara sesama. Di waktu dia dan aku tidak saling berjumpa. Sungguh kini dia selalu menanyakan bilakah hari aku akan tiba di hadapannya.

Aku jujur mengatakan, masih belum cukup terlihat agak baik diri ini untuk membuat dia kelihatan berasa senang bila sudah berdirinya aku dihadapan seluruh mimpi aku selama ini.

Semahunya aku, ingin terlihat pancaran kejutan di riak wajah dan matanya yang melihatku agak kehairanan nanti. "Apakah benar ini dia yang aku kenali selama ini?"

Ingin aku lihat juga bagaimana terukirnya sebuah senyuman manis darinya nanti :)