Wednesday, November 20, 2013

Pemimpin yang bersedia.

Kelmarin kau katakan malam sungguh indah. Kerana pada malam itu disinari oleh cahaya bulan.

Semalam kau katakan pula malam sungguh cantik. Kerana pada malam itu dihiasi oleh butiran bintang.

Sekarang kau katakan malam semakin kelam. Padahal waktu ini, bulan dan bintang hadir memeriahkan malam.

Mungkinkah kau berasa sunyi, walau dihadapan kau ada pemandangan yang indah?

Kau bukan sahaja benar terlihat sunyi malah lebih dari itu, tidak dapat lagi percaya pada namanya cinta. Tetapi percaya hanya sebatas hubungan yang masih belum apa-apa.

Kelmarin mungkin segalanya indah. Setiap waktu kau tidak pernah renggang dengannya. Dari terbit matahari hingga kau terlelap lena.

Semalam mungkin kisahnya sedikit manis. Namun kau mulai berasa sedikit hambar. Barangkali dia sudah berasa bosan. Tidak lagi serapat dan semesra seperti kelmarin.

Sekarang, kau tersudut di antara perasaan ingin tahu dan percaya. Akhirnya kau diamkan sahaja kerana takut dikatakan memaksa.

Nikmati sahaja sisa bujang. Usah kau tergesa berprasangka. Dan carilah ketenangan hati di atas sejadah.

Kerana kau perlu waktu untuk bersedia menjadi seorang pemimpin.

Hijrah

Jauh atau dekat, hidup kau tetap terjarak. Tidak lagi dapat melihat keluarga dan sahabat. Selama ini dekat di mata, dan itu membuat kau bahagia.

Begini nasib orang perantau, keberadaan kau menjadi risiko buat hati. Sentiasa mahu terhiba dan rindu yang menyeksa jiwa.

Sehari-hari tidak sama seperti dahulu. Kau merantau demi mencari perubahan. Bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk keluarga yang kau cinta lebih utama, membahagiakan mereka. Namun tentangannya, kau terpaksa hidup sendiri di negeri orang.

Segala cerita yang kau lalui, pengalaman yang begitu berharga. Dahulu kau manja, kini kau tegar menjadi manusia. Kerana kau tahu bagaimana nasib kau kini. Terkadang bernasib baik, terkadang kau bernasib malang.

Usah kau mengeluh dan berputus asa sekarang. Apa pun nasib kau, itu sudah menjadi suratan takdir. Kau harus redha dan sentiasa bersyukur kerana kau sudah menjadi lebih baik dari yang dahulu.

Meski kau masih belum kaya, cukup kau sudah memiliki nilai yang penuh di dada. Nilai kemanusian yang jarang ada pada orang lain. Kesedaran dan tidak lupa diri apabila kau sudah senang dalam hidup nanti.

Dalam pada itu, kau harus tetap bersabar kawan. Tetaplah azam kau, biarlah pahit sekarang, akan tiba jua kemanisan hidup buat kau nanti.

Kau tinggalkan sanak saudara, bukan itu yang kau mahu. Tetapi kerana kau ingin membahagiakan mereka.

Kau tinggalkan kampung halaman, bukan kerana kau tidak betah tinggal. Tetapi kau ingin mencari ikhtiar hidup yang lebih baik.

Kau tinggalkan kasih sayang, bukan beerti kau tega, tetapi kerana kau tabah dan mempunyai cita-cita. Apabila kau sudah berjaya, kasih sayang yang kau tinggalkan tidak perlu lagi menderita.

Bersabarlah kawan. Kau tidak perlu risau dan teruslah bersemangat, kerana kau sudah menjadi orang yang lebih bertanggungjawab. Terutamanya apabila kau tetap ingat diri pada ketika kau mengadu nasib di negeri orang.

Terlalu lama memendam.

Akhirnya bersua kembali, walau hanya memerhati dari jauh. Lalu membuat kau sipu sipu sendiri. Tanpa kau tahu, Langkah kau terhenti.

Lama, sungguh lama tak kau lihat, dia yang dahulu kau mahu. Saat ini, fikiran kau samar. Kadang ingat kadang tidak. Namun kau tetap berani menanya khabar. Itu pun hanya dalam hati. Mungkin kau masih malu.

Sebenarnya kau ingin katakan

"Kau cantik hari ini"

Dan kau suka sekiranya dia tahu, mengenai perasan kau terhadapnya. Perasaan yang telah lama terpendam.

Dia yang kau mahu dulu, masih berdiri jauh dihadapan kau. Dan dia kelihatan lain sekali. Kelainan yang membuat hati kau terusik.

Dan kau suka sekiranya dia tahu. Mengenai jantung kau, yang deras berdegup kencang.

Entah ada angin apa, hari ini kau berasa luar biasa. Pada ketika dia berdiri di sana, kau tetap kaku melihatnya. Begitu juga dia.

Luar biasa aneh kau rasa hari ini. Entah mengapa aliran darah kau seperti berhenti, ketika kau menyambut tatapan matanya.

Namun itu semua tak pernah akan terjadi. Kerana dia tetap tidak tahu. Kau jauh takut mendekati. Hanya berbisik dalam hati tanpa bertindak apa-apa.

Akhirnya perasaan kau tenggelam lagi. Terpendam lebih dalam dari sebelumnya. Kerana dia telah pergi bersama seorang lelaki.

Bersama mereka juga, turut berjalan di antara mereka, seorang kanak-kanak yang comel. Terlihat mereka sungguh bahagia, berjalan seiringan sambil berpegangan tangan. Semoga mereka berbahagia.