Saturday, January 15, 2011

Angin petang

Terlihat daun-daunan yang kecil kehijauan melambai-lambai di puncak sebuah pokok jalanan. Kadang perlahan. Kadang cepat getaran dedaun itu. Akibat dari hembusan angin petang yang terasa amat damai. Memberi ruang untuk mendongak ke langit. Tanpa terasa panas yang membebankan mata.


Bertapa girangnya daun-daunan itu bila dihembus angin. Seandainya dedaun itu punya bibir. Pasti akan kelihatan senyuman manis terukir di atas daun itu. Daun-daunan tetap menjadi tumpuan aku. Mata tetap tertumpu mencari sesuatu. Sesuatu yang amat mendamaikan. Sambil mencari penawar dari alam.


Angin petang juga sepertinya ingin membawa pergi anak-anak rambutku. Meniup rambut yang tak berapa mahu panjang. Setelah dipotong kemas apabila rimas berambut panjang. Aku betulkan keadaan rambut agar kembali rapi. Ia menjadi. Sangat mudah, namun tidak semudah membetulkan kekacauan hati.


Hembusan angin petang sangat pandai memujuk. Memujuk hatiku yang ketika ini begitu ingin merajuk, menangis dan meronta sepuas-puasnya. Aku terpana. Muncul semua gambaran di kepala. Berlegar-legar menceritakan kembali kisah lalu. Di setiap jeda kisah, aku ingin mencari solusi.



Angin berlalu pergi. Keadaan di sekitar belakang rumah tempat aku masih kakukan kaki berdiri. Terasa amat kosong. Kosong dan sepi apabila angin berlalu dan menghilang arah. Akan tetapi, angin tadi memberi aku satu jawapan untuk beberapa persoalan hati.


Di setiap seribu awan. Pasti ada satu yang hitam. Bila ada yang hitam, akan terus menular menjadi hitam kesuluruhannya kawanan awan. Seterusnya terjadi air hujan memberi kemakmuran di bawahannya. Tapi berlainan apabila melibatkan roh yang mempunyai hati.


Di setiap satu hati dari berjuta-juta umat. Bila ada yang hitam, tidak semua akan turut menjadi hitam. Masih ada juga di antaranya ingin berubah. Berubah demi sesuatu. Berubah demi ke arah mencari perdamaian. Mencari jalan cahaya untuk menerangi hati yang malap.


Waktu terasa semakin berlalu. Berlalu terus mengindar keluar dari fikiran yang melayang. Ada cerita antara aku dan seseorang. Seseorang yang memberi aku seribu pengertian. Membuat aku sedar tanpa harus alami kecelakaan, pembalasan atau penyesalan dahulu.


Di setiap waktu. Ada sahaja ulah dari tabiat aku yang mudah alpa. Lupa diri bila telah senang hati. Ingat diri bila hati sepi. Aku akui salah diri. Salah ku amatlah keji dan juga bererti secara tak langsung apabila ini semua terjadi. Memberi banyak hikmah dan sebuah peluang keemasan untuk perbaiki diri.


Akan aku pastikan semua nya kembali baik-baik sahaja kerana peluang di beri hanya sekali. Peluang yang itulah yang sebenarnya amat beerti. Melihat apakah benar ia dihargai. Iya. Saya sangat hargai semua tentang mu. . . dan juga tentang semua yang aku sayangi.


Ady . . .


1 comment:

renee rafizan said...

awan hitam akan hilang pabila ditiup angin...keadaan akan berubah dari gelap gelita menjadi terang kembali.begitu juga dgn kehidupan kita.......