Wednesday, November 9, 2011

Senyuman tenang dari ibu

Waktu bergulir cepat. Jemari ini masih kaku mahu menaip apa. Fikiran juga turut melayang entah kemana. Hati ini terlalu riang untuk diam berbicara. Oleh itu, tulisan yang menjadi hobi di waktu hati perih telah jauh terlupakan, hingga lupa apa itu yang dikatakan kesedihan.

Kesedihan itu mungkin saja sudah hampir menghilang, tapi tetap juga hati ini mahu berasa muram. Begitulah caranya saya agar tidak mudah menjadi lupa diri, apabila rasa gembira dan bahagia mula berdansa di jiwa memberi hiburan hati.

Dulu-dulu, jemari jadi pengganti bicara. Pada saat hati ini mahu meluahkan semua yang di rasa. Kini, bicara saya sudah menjadi sedia kala. Menukar laluan dari minda ke butiran kata. Tidak lagi karangan jadi penghubung utama, antara dia dan saya.

Namun di saat tulisan diperlukan. Itulah waktu saya sedang berduka. Suka dengan sifat diam, bukan bermakna meminggir dari masalah. Dalam diam saya mencari penyelesaian tanpa masalah. Ketika diam juga saya mampu berfikir dengan tenang dari hati yang kelam.

Mungkin inilah pelajaran dari ibu sejak saya darjah enam. Masih memberi ingatan yang sangat panjang. Waktu itu, saya punya masalah dengan keinginan seorang budak, hingga meradang hentak-hentak kaki memberontak.

Lalu, hadir ibu menatang mata saya sambil menghadiahkan penglihatan saya dengan sebuah ukiran senyuman, senyuman yang amat tenang. Ibu mendatangi saya dengan sekumal kertas yang telah dikoyakkan dari buku sekolah saya. Sebenarnya buku itu sudah menjadi buku conteng-conteng saya. Buku yang biasanya menjadi tempat saya melemparkan rasa bosan, maklum dulu belum tahu apa itu facebook, di atas buku conteng-conteng itulah saya selalu mengatastarikhkan status saya.

Setelah ibu menyediakan sehelai kertas kumal dari buku conteng-conteng saya, ibu turut sertakan juga dengan sebatang pensil. Ibu kata, tulislah apa yang dirasakan tidak kena di hati di atas kertas ini. Tulislah semua masalah yang membelenggu diri hingga membuatkan kaki kamu itu berjoget sendiri. Perli ibu tentang perlakuan saya yang suka menghentak-hentak kaki di atas lantai simen.

Lalu, saya dengan wajah masih tidak mengerti apa. Menuruti apa yang dibilang ibu. Pada saat saya sudah siap menulis, ibu munyuruh pula saya merenyuk-renyukkan kertas tersebut yang terkandung semua masalah yang membebankan jiwa budak sekolah rendah ini.

Saya akur dan menurut segala arahan ibu dengan baik. Perintah ibu amat lembut dan bernada seseorang yang mengetahui sesuatu lebih dari apa yang saya tahu. Saya renyuk dan pulas-pulas kertas tersebut semahu-mahunya hati, berharap juga renyukan saya akan menjadikan kertas yang mengandungi segala bebanan masalah saya menjadi hancur lumat.

Setelah puas merenyuk-renyuk dan memijak-mijak kertas itu beiringan hilaian ketawa seram, ibu memerintahkan saya agar kertas tersebut dilemparkan ke dalam hutan di belakang rumah. Jauh saya lempar hingga hilang dari pengamatan penglihatan.

Pada saat kertas itu sudah tidak terlihat lagi, waktu itu juga luruh semua bebanan anak kecil ini dengan tiba-tiba. Terasa sejuk pula melihat ibu tenang memandang saya dengan senyuman yang manis. Sedar saya, kesusahan itu tidak perlu disimpan walau jelas kita merasa kurang dari apa yang kita mahu atau inginkan. Itulah kata pergulungan ibu terhadap setiap tindakan yang telah diajarkan tadi pada saya. 

Ibu menambah dengan sebuah bicara dengan nada yang agak lembut. Pada diri ini, kekurangan kita adalah kelebihan kita sendiri. Di mana kita mulai berasa susah, ketika itu kita mulai mengerti bagaimana mahu menyalurkan rasa kesyukuran.

Bersyukur saya kerana di beri sebuah pengertian tentang hidup, bila saya mula tahu dan sedar salah yang telah saya buat hingga sampai memberontak hentak-hentak kaki, baru saya mengerti tentang apa yang ibu katakan, sebenarnya, bukanya ibu tidak mahu membelikan apa yang saya mahu, dan bukan saja ibu tidak mampu. Tapi ibu mahu saya sedar, agar menjadi seorang anak lelaki yang baik dan harus kenal erti susah, iaitu susah dalam mendapatkan sesuatu agar tercipta daya usaha untuk mendapatkannya. Ibu juga secara tidak langsung telah memberi tunjuk ajar pada saya, tentang bagaimana mahu menjadi seorang anak yang tahu diuntung.

"Susah tidak selamanya susah, andai hati murni dan sedia mencari setiap inci ikhtiar hidup. Ada yang lebih susah lagi dari kita, sesusahnya kita tidak sebanding dari kesusahan orang lain, penting, tidak menyusahkan orang" Tambah ayah dari belakang...... :)



No comments: