Wednesday, November 20, 2013

Hijrah

Jauh atau dekat, hidup kau tetap terjarak. Tidak lagi dapat melihat keluarga dan sahabat. Selama ini dekat di mata, dan itu membuat kau bahagia.

Begini nasib orang perantau, keberadaan kau menjadi risiko buat hati. Sentiasa mahu terhiba dan rindu yang menyeksa jiwa.

Sehari-hari tidak sama seperti dahulu. Kau merantau demi mencari perubahan. Bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk keluarga yang kau cinta lebih utama, membahagiakan mereka. Namun tentangannya, kau terpaksa hidup sendiri di negeri orang.

Segala cerita yang kau lalui, pengalaman yang begitu berharga. Dahulu kau manja, kini kau tegar menjadi manusia. Kerana kau tahu bagaimana nasib kau kini. Terkadang bernasib baik, terkadang kau bernasib malang.

Usah kau mengeluh dan berputus asa sekarang. Apa pun nasib kau, itu sudah menjadi suratan takdir. Kau harus redha dan sentiasa bersyukur kerana kau sudah menjadi lebih baik dari yang dahulu.

Meski kau masih belum kaya, cukup kau sudah memiliki nilai yang penuh di dada. Nilai kemanusian yang jarang ada pada orang lain. Kesedaran dan tidak lupa diri apabila kau sudah senang dalam hidup nanti.

Dalam pada itu, kau harus tetap bersabar kawan. Tetaplah azam kau, biarlah pahit sekarang, akan tiba jua kemanisan hidup buat kau nanti.

Kau tinggalkan sanak saudara, bukan itu yang kau mahu. Tetapi kerana kau ingin membahagiakan mereka.

Kau tinggalkan kampung halaman, bukan kerana kau tidak betah tinggal. Tetapi kau ingin mencari ikhtiar hidup yang lebih baik.

Kau tinggalkan kasih sayang, bukan beerti kau tega, tetapi kerana kau tabah dan mempunyai cita-cita. Apabila kau sudah berjaya, kasih sayang yang kau tinggalkan tidak perlu lagi menderita.

Bersabarlah kawan. Kau tidak perlu risau dan teruslah bersemangat, kerana kau sudah menjadi orang yang lebih bertanggungjawab. Terutamanya apabila kau tetap ingat diri pada ketika kau mengadu nasib di negeri orang.

No comments: