Sunday, October 10, 2010

Kaki yang melangkah

Dini hari
Di sebuah perhentian bas, dalam gelap-gelap subuh telah terduduk seorang pelajar. Tidak tinggi, tidak juga rendah. Rambutnya agak sedikit panjang disikat miring ke kanan. Berbaju lengan panjang, berseluar hijau dan bersepatu sepak takraw putih. 


Hari jumaat, hari terakhir dalam jadual sekolah. Semangat seakan-akan ditiup-tiup membekalkan haba melawan kedinginan subuh. Walau di hati, tiada siapa yang ingin ambil peduli tentang rasa kedinginan itu. Berbekalkan 2 ringgit diberi ibu untuk digunakan sebagai jajan sekolah, dia hanya sekadar mengalas perutnya dengan sepotong roti yang berharga 60 sen. Di suapan terakhir,  bas yang dinanti-nanti, telah tiba.

Pagi semakin perlahan mengundurkan diri tanpa memberitahu. Jauhnya di sekolah hanya 1 km. Tidak tersangka semakin pantas masa berlalu. Dia akhirnya tiba di pintu utama sekolah. Melewat sang si baju biru dengan wajah selamba. Tanpa di duga, hari ini dalam sejarah, remaja sekolah ini lebih cepat melangkah dari waktu. Para pengawas yang menjaga pagar sekolah terkedip-kedip mata mereka melihat remaja itu datang lebih awal ke sekolah hari ini. Mereka seakan-akan melihat hantu. Jauh meleset dari pengamatan mereka.


Hari ini dalam buku catatan si baju biru, tiada terisi pelajar yang bernama Hadi. Pelajar yang sangat pendiam. Boleh dikatakan malas bercakap. Sering datang seperti guru. Buku-bukunya tidak tahu yang mana satu. Mungkin hanya ada satu dari semua yang harus di beli. Sering dalam riwayat hidupnya sebagai pelajar yang suka datang lambat. Bukan suka, tapi terluka di kaki berjalan setiap hari. Mungkin pagi tadi adalah bas yang pertama kali dia naiki.

Hadi berada di tahun akhir pembelajarannya di sebuah sekolah menengah. Sekolah yang selalu kebanyakan pelajar melabelkan ia sebagai "Semengkeb". Tidaklah tahu asal usul panggilan tersebut. Bahkan si Hadi tidak mahu tahu itu semua. Penting, dia sentiasa ada di sekolah, belajar dan pulang ke rumah. Saat kebersamaan ibu dan adik-adik kemudiannya jadi keutamaan kedua hadi. Ayah semakin kuat membanting tulang. Ibu pula, memberi tempahan sulaman. Membantu ayah sekadar yang terdaya. Adik-adik pula semakin membesar. 


Semakin besar mereka, semakin besar tanggungan ibu dan ayah. Di kala rasa itu, Hadi tersepit mencari penyelesaian. Dia tidak mampu mengekang air halus lelaki yang mahal dari terus mengalir membasahi pipinya yang kerepot. Sekadar yang termampu dia menahan keperitan orang tuanya. Dia bingung harus bagaimana perasaan bersalah ini tidak begitu terasa bila mengenangkan ayah dan ibu bersungguh-sungguh menyekolahkannya. Sedangkan adik-adik lebih memerlukan dari dirinya.

Seminggu sebelum peperiksaan SPM bermula. Hadi terbayang akan wajah ibu dan ayah. Semakin terasa bayangan itu sehingga ia hampir terbentuk sekujur tubuh di hadapannya. Dia tekad untuk berhenti sekolah. Rela membantu ayah sama-sama membanting kudrat. Sama-sama tersenyum ceria berkumpul bersama seluruh keluarga, walau hanya nasi kosong jadi hidangan. 


Dia tidak tahu lagi di mana usahanya untuk belajar kini. Telah terlepas menjadi tali untuk diikat bersama keluarga. Berbakti secepat mungkin walau dirinya menjadi kuli sejati. Tanpa fikir panjang, langkahnya terhenti. Betul-betul terhenti di depan orang yang sangat dia kasihi dan sayangi. Ibu.

Ibu seakan dapat menapis segala fikiran anak sulungnya itu. Di suatu pagi, ibu sendiri yang menyiapkan baju dan seluar sekolah. Berserta tambang untuk dia tidak dapat penalti lagi, kerana datang lambat ke sekolah. Sebelum pergi, ibu usap-usap kepala Hadi. Hadi semakin pilu dan hairan. Dalam usapan itu terselit kata dari ibu. 


"Pergilah teruskan usahamu, jangan bawa diri itu ke jalan buntu. Hadirkan dirimu dengan niat ingin membantu. InsyaAllah doa ibu selalu mengiringi. Tiada kesenangan yang paling terindah ibu miliki melainkan kejayaanmu, anakku. Ibu tunggu. Ibu tunggu kepulanganmu merubah nasib kita semua. Cukuplah kamu mengerti bahawa kesusahan membawa pengertian yang baik menjadi insan yang tahu diri. . . anakku "~ 




No comments: