Thursday, November 21, 2013

Kau bukan dia. Dia bukannya kau.

Kau pasti mahu sesuatu yang terbaik berlaku dalam hidup. Kau juga mahu sesuatu yang dapat menyenangkan hati. Kemahuan kau ini membuatkan hati sentiasa sayu. Disebabkan kau hanya sendiri memikirkan caranya, bagaimana untuk membuatkan hasrat kau ini tercapai.

Pada ketika kau masih bujang tanpa debunya sayang. Kau mudah mendapatkan hati yang serba tenang. Mudahnya kerana dalam fikiran kau ringan tanpa memikirkan tentang seseorang. Hanya diri kau dan apa yang kau mahu lakukan sahaja menjadi mainan fikiran dan kehendak hati.

Kini kau telah melalui jalan yang baru. Hati kau menebal dengan rasa kasih. Kau tidak lagi sendiri dan akan bersedia memikul satu lagi tanggungjawab.

Menuju ke arah itu, kau pasti akan diuji. Dimulai dengan ujian mudah hingga ujian yang sukar. Tanggungjawab ertinya sungguh besar. Kau harus sedia, sabar dan tabah hadapi segala dugaan, jika kau mahu sesuatu yang terbaik terjadi dalam hidup.

Kau tidak perlu berasa sendiri lagi, kerana kau sudah mempunyai belahan hati. Kau tidak dapat lagi bermudahan dalam berfikir bagi mendapatkan apa yang membuatkan kau senang hati. Meski kau bukannya dia dan dia bukannya kau. Kau harus tetap sedar tentang peranan kau terhadap dia.

Bagaimana kau mahu tentangnya, bukan mengikut dari cara kau. Tetapi mengikut apa yang ada dalam hati kau. Bersih hati kau, bersihlah jua rasa kasih kau padanya. Bersih hati kau, bersih jua perasaan kau dari rasa cemburu, berprasangka dan tidak percaya.

Namun, segalanya bermula dengan niat, bersihkan hati dan kau akan mendapatkan sesuatu yang indah berlaku dalam hidup kau. Lebih manis kau akan mengalaminya dengan seseorang yang akan kau hidup bersama nanti.

Kunci sepi

Di sebalik maksud diam ada sebab yang tersimpan di balik jendela hati.

Masih menyimpan rasa agar tetap terjaga suasana yang dirasakan buat diri untuk tetap terlihat seakan tenang.

Mudah kata, andai mereka masih mudah leka berkaitan tanggungjawab, kasih sayang, tolak ansur dan hormat menghormati.

Maka, ada sebaiknya hati ini terus diam dan kaku sendirian tidak pulang.

Wednesday, November 20, 2013

Putus

Putus harapan.

Jika itu terjadi, kau cuma telah berhenti dari terus berangan. Angan sia-sia yang tanpa nyata kau tidak memberi sedikit usaha.

Putus duit.

Lebih sulit jika tidak mencari dari tidak punya duit sedikitpun. Maka, jangan malas bekerja. Usah memilih. Usahalah dan jangan pernah kau susahkan orang lain. Sedangkan kau masih sihat wal'afiat.

Putus cinta.

Huh. Cinta itu cuma sebuah kata. Kau tidak perlu cinta kalau kau tahu menghargai diri sendiri. Kau beradap. Kau berilmu, kau sudah temui apa ertinya cinta. Pupuklah perasaan kau untuk menjadi baik. Jadi manusia yang berguna, walaupun rupa kau seperti samseng. Asalkan kau menjadi manusia yang disenangi.

Jadi biar sekarang kau berasa seperti putus cinta. Tapi sebenarnya kau sentiasa ada banyak pilihan cinta untuk disambung. Sebelum itu, wujudkan cinta buat diri kau dahulu.

Dosa.

Pantaskah aku ini jadi penghuni surga
Sedangkan ku banyak dosa

Salam ya salam,
Assalammualaikum
Wahai kawanku perkenankan ku
Ceritakan resah gelisah ku

Tentang betapa dekatnya jarak hidup dan mati di dunia ini
Tentang kematian yang setiap saat bisa saja mendatangiku tanpa permisi

Astaghfirullah,

Begitu banyak waktu yang kulewati dengan sia-sia
Hingga tak ada sedikit pun ruang di hati
Kecuali hanya terisi dengan dosa
Dosa kecil dosa besar semua bertumpuk seperti sampah

Yang bisa menguburku dalam liang lahat
Hingga membusuk melebihi sampah

Hingga suatu ketika ku jatuh sakit
Udara dingin terasa menggigit
Dan ku merasa inilah akhir perjalanan hidupku
Yang begitu singkat dan hanya terisi dosa

Takut mati, takut mati, aku amat sangat takut mati
Ku merasa neraka makin dekat dengan jiwaku
Yang tak bisa melakukan apa-apa lagi

Alhamdulillah,
Segala puji bagiMu ya Allah

Yang masih memberi hambaMu
Waktu tuk kembali kepadaMu
Sungguh aku ingin melunasi semua dosa-dosaku
Yang tak bisa kuhitung satu demi satu
Walau aku tahu takkan cukup waktu
Menghitung dosa-dosa yang melebihi jutaan bintang.

Biarlah secukupnya.

Hari demi hari nafsu makan menjadi lemah. Bukan kerana tidak punya wang. Bukan juga kerana tidak berselera. Dan bukan juga kerana mengikat perut.

Tetapi hanya kerana masa. Masa yang lalu banyak terbuang. Masa yang sedang berlaku, sentiasa terbazir. Masa yang akan tiba, tidak pernah akan peka.

Hanya kerana fikirkan lapar, nafsu yang kecil menjadi ganas. Usai kenyang, kau terbaring riang hingga terlena.

Terkadang nasi yang di makan tinggi berbukit, tapi tak habis meninggalkan sisa. Hanya kerana nafsu menjadi jalan memuaskan hati.

Makan memang keperluan. Tetapi jangan lengah menjadi manusia yang kekenyangan dalam kerugian.

Makan makan juga, makanan buat rohani jangan lupa dilaksana.

Janda muda.

Gara-gara janda muda, kau berhenti mencari gadis jelita. Selama ini kau cuba mengorat, tetapi hampa yang kau terima.

Gara-gara janda muda, kau riang memadam duka. Senyuman kau dibalas tanpa paksa. Selama ini kau cuba beri senyum pada gadis cantik, namun wajah mencuka yang terbalas.

Gara-gara janda muda, kau cepat menjadi dewasa. Kau terpaksa berfikiran matang saat berkata-kata. Tidak lagi dapat kau berpelat mesra ketika dahulu kau bersama bekas kekasih yang seusia.

Gara-gara janda muda, kau mulai menjadi lebih baik. Bukan kerana kau mengikut telunjuk, tetapi kau mulai mengerti tentang pengorbanan dan kesungguhan. Selama ini kau juga sering permainkan hati bekas kekasih yang seusia.

Pemimpin yang bersedia.

Kelmarin kau katakan malam sungguh indah. Kerana pada malam itu disinari oleh cahaya bulan.

Semalam kau katakan pula malam sungguh cantik. Kerana pada malam itu dihiasi oleh butiran bintang.

Sekarang kau katakan malam semakin kelam. Padahal waktu ini, bulan dan bintang hadir memeriahkan malam.

Mungkinkah kau berasa sunyi, walau dihadapan kau ada pemandangan yang indah?

Kau bukan sahaja benar terlihat sunyi malah lebih dari itu, tidak dapat lagi percaya pada namanya cinta. Tetapi percaya hanya sebatas hubungan yang masih belum apa-apa.

Kelmarin mungkin segalanya indah. Setiap waktu kau tidak pernah renggang dengannya. Dari terbit matahari hingga kau terlelap lena.

Semalam mungkin kisahnya sedikit manis. Namun kau mulai berasa sedikit hambar. Barangkali dia sudah berasa bosan. Tidak lagi serapat dan semesra seperti kelmarin.

Sekarang, kau tersudut di antara perasaan ingin tahu dan percaya. Akhirnya kau diamkan sahaja kerana takut dikatakan memaksa.

Nikmati sahaja sisa bujang. Usah kau tergesa berprasangka. Dan carilah ketenangan hati di atas sejadah.

Kerana kau perlu waktu untuk bersedia menjadi seorang pemimpin.

Hijrah

Jauh atau dekat, hidup kau tetap terjarak. Tidak lagi dapat melihat keluarga dan sahabat. Selama ini dekat di mata, dan itu membuat kau bahagia.

Begini nasib orang perantau, keberadaan kau menjadi risiko buat hati. Sentiasa mahu terhiba dan rindu yang menyeksa jiwa.

Sehari-hari tidak sama seperti dahulu. Kau merantau demi mencari perubahan. Bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk keluarga yang kau cinta lebih utama, membahagiakan mereka. Namun tentangannya, kau terpaksa hidup sendiri di negeri orang.

Segala cerita yang kau lalui, pengalaman yang begitu berharga. Dahulu kau manja, kini kau tegar menjadi manusia. Kerana kau tahu bagaimana nasib kau kini. Terkadang bernasib baik, terkadang kau bernasib malang.

Usah kau mengeluh dan berputus asa sekarang. Apa pun nasib kau, itu sudah menjadi suratan takdir. Kau harus redha dan sentiasa bersyukur kerana kau sudah menjadi lebih baik dari yang dahulu.

Meski kau masih belum kaya, cukup kau sudah memiliki nilai yang penuh di dada. Nilai kemanusian yang jarang ada pada orang lain. Kesedaran dan tidak lupa diri apabila kau sudah senang dalam hidup nanti.

Dalam pada itu, kau harus tetap bersabar kawan. Tetaplah azam kau, biarlah pahit sekarang, akan tiba jua kemanisan hidup buat kau nanti.

Kau tinggalkan sanak saudara, bukan itu yang kau mahu. Tetapi kerana kau ingin membahagiakan mereka.

Kau tinggalkan kampung halaman, bukan kerana kau tidak betah tinggal. Tetapi kau ingin mencari ikhtiar hidup yang lebih baik.

Kau tinggalkan kasih sayang, bukan beerti kau tega, tetapi kerana kau tabah dan mempunyai cita-cita. Apabila kau sudah berjaya, kasih sayang yang kau tinggalkan tidak perlu lagi menderita.

Bersabarlah kawan. Kau tidak perlu risau dan teruslah bersemangat, kerana kau sudah menjadi orang yang lebih bertanggungjawab. Terutamanya apabila kau tetap ingat diri pada ketika kau mengadu nasib di negeri orang.

Terlalu lama memendam.

Akhirnya bersua kembali, walau hanya memerhati dari jauh. Lalu membuat kau sipu sipu sendiri. Tanpa kau tahu, Langkah kau terhenti.

Lama, sungguh lama tak kau lihat, dia yang dahulu kau mahu. Saat ini, fikiran kau samar. Kadang ingat kadang tidak. Namun kau tetap berani menanya khabar. Itu pun hanya dalam hati. Mungkin kau masih malu.

Sebenarnya kau ingin katakan

"Kau cantik hari ini"

Dan kau suka sekiranya dia tahu, mengenai perasan kau terhadapnya. Perasaan yang telah lama terpendam.

Dia yang kau mahu dulu, masih berdiri jauh dihadapan kau. Dan dia kelihatan lain sekali. Kelainan yang membuat hati kau terusik.

Dan kau suka sekiranya dia tahu. Mengenai jantung kau, yang deras berdegup kencang.

Entah ada angin apa, hari ini kau berasa luar biasa. Pada ketika dia berdiri di sana, kau tetap kaku melihatnya. Begitu juga dia.

Luar biasa aneh kau rasa hari ini. Entah mengapa aliran darah kau seperti berhenti, ketika kau menyambut tatapan matanya.

Namun itu semua tak pernah akan terjadi. Kerana dia tetap tidak tahu. Kau jauh takut mendekati. Hanya berbisik dalam hati tanpa bertindak apa-apa.

Akhirnya perasaan kau tenggelam lagi. Terpendam lebih dalam dari sebelumnya. Kerana dia telah pergi bersama seorang lelaki.

Bersama mereka juga, turut berjalan di antara mereka, seorang kanak-kanak yang comel. Terlihat mereka sungguh bahagia, berjalan seiringan sambil berpegangan tangan. Semoga mereka berbahagia.

Ingatkan kawan.

Kau tidak akan pernah mampu merubah diri orang lain.
Kau juga jangan bermimpi dapat mengatur hidup orang lain.
Yang boleh kau lakukan adalah membuat orang lain sentiasa memberi ingatan kepada kau. Itu tergantung dari sifat kau juga.
Duhai kawanku, duhai sahabatku...

Adakah kau bisa menerima hitam dan putih orang lain?
Dan apakah kau juga dapat menghargai diri sendiri?

Andai itu mampu kau lakukan
Orang yang bergelar sahabat bagi kau dapat sentiasa memberi ingatan
Pada ketika kau lelah menghadapi hari yang sukar mahupun senang.

Duhai kawanku, duhai sahabatku...

Hanya kepadaNya.

Bila hatimu tak lagi merasakan indah seperti biasanya
Bila harimu menjadi hari yang tersepi di dalam harimu
Dan semua waktu yang pergi membuatmu jatuh
Dan semakin, semakin menghilang

Namun

Siapa yang sudi menemani
Siapa pula akan mendengarkan
Setiap keluh kesah mu
Semua yang kau rasa
Adalah perjalanan
Dan pilihan yang ada hanya milikmu

Jangan pernah kau hentikan
Untuk mencari semua, semua jawapan

Mungkin si dia tak pernah mampu berada didekatmu selalu

Tetapi kau harus ingat
Yang Maha Kuasa sentiasa dekat
Dengan hambaNya yang sentiasa
Mengabdikan diri kepadaNya penuh taqwa

Mengadulah, merintihlah semahumu
Hanya kepadaNya.

Nescaya, hatimu akan kuat.

Mudahkan masalah.

Persoalan

Setiap permasalahan ada penyelesaian. Tetapi setiap masalah juga sebelum mendapatkan jalan penyelesaian, terlebih dahulu harus ada persoalan.

Persoalan ini mudah. Dengan dimulai dengan kata soal seperti apa, kenapa, bagaimana, dimana, siapa dan bila? Sebelum itu, sabar harus menjadi ketua dalam memimpin sebarang persoalan. Baru ketenangan dapat dirasakan pada ketika mencari jalan keluar dari masalah. Harus diingat bahawa masalah akan menjadi berganda jika persoalan dilakukan mengikut emosi.

Tenang dalam memahami situasi masalah juga merupakan jalan singkat mencari jalan penyelesaian. Setelah faham, baru segala persoalan dibenihkan pada cerita permasalahan.

Dari segi persoalan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan tekanan jika betul cara soalan yang diajukan. Sebaiknya didahulukan dengan soalan yang mengandungi unsur positif. Baik dari segi ayat mahupun nadanya yang seakan memujuk. Cara ini baik untuk melonggarkan ketegangan masalah yang dihadapi pada peringkat awal.

Apapun, kaedah persoalan untuk mencari jalan keluar dari permasalahan hanyalah sebagai pendorong untuk kita mendapatkan kekuatan semula jadi diri, iaitu tabah.

Seseorang akan cepat luntur semangat ketika hadapi sebarang masalah jika tidak ada sebarang peransang dalam diri. Perangsang yang dimaksudkan seperti kata semangat, kebendaan, impian, dan segala apa cara sekalipun yang dapat memetik suis motivasi bagi individu itu sendiri.

Jalan keluar yang dicari bukan bermakna sesuatu masalah sudah menjadi selesai. Masalah selesai setelah kita tahu apa tindakan yang harus kita perbuatkan melalui persoalan yang telah kita bina sebelumnya.

Jadi, jawapan dari persoalan itu lah yang dinamakan secara kasar sebagai jalan keluar untuk masalah yang dihadapi. Setelah itu bertindaklah dengan waras semoga masalah dapat diatasi dengan bijak.

Tambahan, kaedah ini hanya untuk sesuai untuk masalah kecil sahaja. Bagi masalah yang berat, tak tahulah saya bagaimana nak cuba terangkan caranya.

Saturday, October 26, 2013

Sangkar hati.

Kawan saya bernama Zul. Usia saya kurang 5 tahun dari usianya. Jadi, sebagai seorang pemuda yang penuh santun, saya memanggilnya abang. Barangkali kesantunan antara rakan yang tidak pernah saya miliki ini, saya dapatkan ia dari abang Zul, meski hanya dengan cara menghormati seseorang yang lebih tua dari saya melalui panggilan kata ganti nama.

Bukan susah sebenarnya untuk berlaku sopan. Apalagi apabila bersama kawan sekerja. Pekerjaan yang dilakukan pula membuat diri menjadi keras saban hari. Kerja yang bukan ditiup penghawa dingin, kerja yang bukan di tahap selesa hidup tetapi adalah kerja yang dilabelkan umum sebagai kuli.

Memang setiap pekerjaan makan gaji adalah kuli tetapi kuli yang dimaksudkan saya adalah kuli yang bekerja tak kira apa pun keadaan, tubuh harus kuat sentiasa dan kebal dengan alam.

Lebih perih lagi, jenis pekerjaan kuli seperti saya ini, apabila sudah mencuba berusaha keras sekalipun namun tetap tidak pernah berjaya untuk menjadi kaya. Ditambah lagi, dengan tanpa epf, tanpa kwsp, bahkan cuti tahunan juga tidak ada. Jadi apabila cuti hanya kerana urusan keluarga, gaji dipotong.

"Pada ketika kamu sudah dapat apa yang kamu inginkan tetapi bukan seperti apa yang kamu harapkan"

Kata-kata ini terbit dari mulut kawan saya, abang Zul. Walau ketika itu, dia hanya mengatakan sambil berseloroh, namun tetap berbekas di hati saya. Mungkin disebabkan keadaan saya pada waktu itu sudah berputus asa. Ditambah pula akibat dari kelelahan dari kerja kuli begini, itu sedikit sebanyak membuatkan hati saya terkesan kerana dia juga kerja kuli seperti saya tetapi kenapa dia tetap optimis?

Sebenarnya kita tidak akan dapat tahu samada akan berjaya atau tidak seandainya kita tidak pernah untuk mencuba. Biarpun kita tahu pekerjaan kita ini amat seksa atau setidak setidaknya sebanding dengan pekerjaan seperti buruh, namun itulah punca rezeki kita. Selagi kita tidak hidup menyusahkan orang, kerja ini tetap hasilnya adalah halal walau tidak dapat menjadi kaya sekalipun.

Rupa-rupanya pandangan ini yang membuatkan abang Zul terlihat tenang hadapi kenyataan hidup yang sama saya tempuhi. Kenyataan hidup yang sukar membuat saya lemah dan sering berputus asa selama ini.

Saya bertambah segan dan dalam masa yang sama semangat diri mulai terbit sedikit demi sedikit. Barangkali jiwa mulai menghadam kata selanjutnya dari teman saya ini.

Cuba dan cari arah pandang yang lain. Tak satu jalan menuju ke kecermelangan. Berjaya tanda bonus, kegagalan tanda kamu harus menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

Ketahuilah sebenarnya, apa yang bukan kamu inginkan dari apa yang kamu harapkan adalah yang terbaik untuk kamu. Harapan terkait antara usaha. Kesesuaian usaha yang menuju pada harapnya kita adalah sesuatu yang nikmat untuk diperolehi. Jika tidak, anggap itu sebagai hadiah dari usaha kita sendiri meski bukan seperti yang kita harapkan.

Dan terakhir nasihatnya membuat saya masih teringat hingga kini hingga saya menjadi malu untuk mengakui kebenarannya. Iaitu tentang angan.

Jika kamu mengantuk tapi masih berangan, cuma berangan tanpa menyediakan niat yang bulat untuk mencapai mimpi pada esok hari. Tekad yang masih tergantung di pintu angan yang cuma membuat hati berasa puas, jadi bagaimanalah kamu dapat tidur, apalagi untuk lena?


Monday, October 21, 2013

Yang pertama kali

Debaran yang dirasakan pada 3 tahun yang lalu masih terasa hingga kini. Debaran yang berpunca dari denyut jantung di dada, berdebar tak menentu.

Entah mengapa, hati menjadi sayu berlipat dengan rasa malu tersipu-sipu untuk mengatakan tentang hal yang lalu, bahawa debaran itu datang sebenarnya kerana kehadiranmu.

Sejak mula mengenal kamu meski hanya dari sebaris nama, diam - diam hatiku mengagumi dirimu bahkan menyayangimu.

Untuk pertama kali setelah 2 tahun saling mengenal hanya di balik talian. Kita akhirnya dapat bersua melihat wajah sebenar di balik suara yang sering dahulu mendamaikanmu. Semua itu terjadi di sebuah stesen keretapi. Masih adakah ingatan kamu tentang hal itu?

Buatmu, untuk pertama kali hingga ke detik ini, ku akui betapa kamu begitu berarti. Hingga memuncak sebuah rasa yang ingin selalu dekat dengan dirimu. Maaf andai aku ingin mengatakan sebuah kata manja disini, yang aku tak mahu berjauhan lagi.

Barangkali kamu tidak menyedari bahawa kamu yang pertama di dalam hidup ini, dan barangkali juga kamu pasti merasa seperti apa yang ku rasakan, rindu dan sayang menyeksa diri. Yang pertama di dalam hidup ini juga, kasih dan sayang menerpa diri.

Kuakui, pada ketika jiwa ini penuh dengan rasa kasih padamu, tak sedar bibirku ini menyebut dan memanggil namamu sayang...