Jika manusia biasa ada sedikit hati lebih besar dari hatinya aku, adakah aku ini manusia yang luar biasa? Sungguh sekecil zarahpun hati aku. Aku tidak pernah mahu terasa atas apa yang aku terima sejak membuka mata melihat dunia.
Zahirku cukup sempurna. Seperti tiada apa yang aneh bila di lihat oleh manusia yang lain. Namun, batin? Adakah mereka-mereka juga dapat melihat itu dengan mata kasar? Batin itu juga aku sepertinya tidak punya. Jauh angan menjadi igauan. Fikiran tidak pernah mahu berbakti bertanggungjawab membesarkan akal ku untuk menjadi dewasa.
Kenapa? Lalu soalan itu jua selalu aku bisikkan. Bila mereka-mereka memandang sinis, kerana aku selalu saja buat mereka malu. Mungkin saja aku ini yang tampak sudah besar, namun tidak kena pada lagaknya aku menjadi seseorang yang semahunya aku dilihat tampak yakin oleh orang yang lebih tua dari aku. Begitu juga pada bunga hati. Maaf, ungkapan tulusku, aku tidak mampu memberi sebuah kebanggaan buatmu. Menjadi dahan bunga yang seperti mana yang kamu mahu.
Sinis dan keras. Kata-kata yang terpacul dari corong suara mereka. Cukup sebenarnya buat hati ku senang. Aku tidak terasa, malah aku menjadi bahagia kerana mereka mahu juga bersuara pada aku. Aku sedikit keliru, harus bagaimana caranya membuat wajah mereka itu tersenyum padaku ketika mereka mula bersuara?
Kenapa? Lalu, kata soal itu juga yang selalu aku bisikan lagi di lubuk hati ini, tanpa mereka semua tahu. Adakah rupa ku membuatkan pandangan mereka berubah menjadi benci. Malukah mereka dengan rupaku yang selalu menganggu pandangan mereka yang selama ini hanya menghidangkan mata penglihatan mereka pada manusia-manusia yang mempunyai wajah yang indah dan cantik? Andai kiranya itu menjadi salahku, aku mohon ampun dan maaf ye cik-cik adik sekalian.
No comments:
Post a Comment