Saturday, September 10, 2011

Buatmu

Aku mulakan coretan lagi, menyambung utusan hati yang tak mampu dikelolakan seperti biasa. Kini, hadir lagi si pelontar kata, mengungkapkan apa yang di janji. Aku telah mampu bertenang, setelah tangis mengalahkan tawa.

Buatmu...

Tidaklah mampu aku memegang pisau belati, buat menghiris hati kecilmu. Tidaklah sanggup aku berjauhan darimu kerana ingin menyendiri. Tidaklah pernah pula terniat mahu menyembunyikan apa yang perlu kamu tahu.

Buatmu...

Segala apa yang terjadi, terkias dari hati, menyinar ungkapan jujur oleh bicara yang aku niati. Aku harus begini, sendiri dan diam. Perlu kamu tahu, tidak semudah itu aku menyendiri. Aku semakin terseksa walau rasa tenang telah aku hampiri.

Buatmu...

Ketika waktu senja, kamu lihat. Aku ada di balik mentari itu. Tenggelam perlahan di hujung lautan. Aku melihat kamu dan diri ku juga terlihat sama olehmu. Sama-sama berpandangan sayu. Iya, hiba terasa ketika kita saling berpandangan di saat mentari semakin perlahan tenggelam.

Alam bertukar gelap, aku di atas menjadi bulan. Kamu juga tidak pernah sedari, bahawa hadirku dalam gelap malammu hanya melempiaskan cahaya suram buatmu. Walau bulan itu selalu akan menjelma selepas mentari kehabisan bahangnya.

Buatmu...

Telah aku isikan setiap maksud dari setiap utusanku padamu, kamu juga telah mengerti setelah sehari-hari kamu menyingkapi isi hati ini. Aku gembira, kerana telah membuatmu tersenyum tanpa kamu pinta.

Namun, hanya sementara senyumanmu itu bertakhta, bila kisah kita bersama telah hampir diketahui oleh mereka yang menjaga. Aku gembira, namun cuma hanya sementara. Kekacauan hati pula singgah dengan tiba-tiba.

Buatmu...

Aku merindui kamu kerana itu aku simpan apa yang seharusnya kamu lihat. Aku merindui kamu kerana itu aku hapuskan jejak langkahku. Aku merindui kamu kerana aku tidak sendiri. Kamu tetap ada di sisiku walau jauh kamu rasakan hadirku kini.

Jiwa aku mungkin hampir tersemat di jiwamu. Jiwa seorang yang telah mati. Mati kerana duka yang terulang kembali. Jadikanlah ia sebagai tempat kamu mendapatkan kembali hati yang puas, selesa dan gembira membenamkan kesilapan orang-orang yang pernah sakiti hati mu dulu ke dalam jiwa yang mati ini.

Buatmu...

Aku redha dan pasrah jika bukan aku jadi pilihanmu. Aku turuti segala apa yang kamu mahu. Begini bermula dan telah berjalannya cerita, agar nanti tiada siapa-siapa lagi akan berduka setelah sampai ke akhir cerita.

Cuma, tambatan hati ini selalu sahaja terhambat kuat di hati berwarna merah senja. Hanya tunggu kamu leraikan dengan hati yang rela, setelah tugas gembira yang aku coba sampaikan padamu dihambat oleh mereka yang lebih baik dari pelontar kata.

No comments: