Ketika senyap itu menjadi batasan cerianya kala berbicara. Itu petanda bagi diri akan kesedaran yang dirasai. Apakah benar bicara itu diutarakan dengan tulus atau tidak. Apakah susunan bicara aku ini telah membuat hatinya terguris atau terasa?
Bila hujan mahu tidak mahunya turun lagi ke bumi. Saat mentari pula lemah memancarkan bahangnya lagi. Angin pula bertiup tanpa rasa yang memberi. Begitulah aku, hadapi suasana serba tidak menjadi. Turun naik nafas menghirup udara kaku. Mencuba untuk bertenang agar dapat menjauh dari kegelisahan.
Buatmu bahagia. Buatmu suka. Buatmu selesa. Antara fikiran utama yang ringkas dan bermakna. Tidaklah mampu aku hamparkan harta dunia. Tidaklah pakaian serba diraja di alas ke atas badan. Tidaklah sumber gaji menjadi kemampuan agar tercapai maksud yang terdekat ini.
Cuma, semampuku hanya dapat memberi apa yang ada di hati kecil yang penuh luka. Telah tercipta banyak kisah dari pengalaman yang amat berguna. Baik buat diri ini mahupuan pada yang merasai hal yang sama.
Biarlah aku begini dahulu. Terima aku apa adanya hingga saat rasa suka, selesa dan bahagia itu benar-benar dilihat sebagai satu jalan yang benar bagi menilai aku ini siapa. Begini aku, yang selalu berasa bahagia bila risau turut menjadi sahabat setia. Risau itu juga adalah sebuah bahagia yang aku lebih julangkan dari hanya terus mengungkap kata cinta yang sedikitpun tidak memberi apa-apa makna.
Biarlah istilah yang mahal ini dapat memberi makna yang benar bila dua hati yang saling kerisauan, lalu menjadi kefahaman dan sedia berbagi duka dan tawa. Ketika itulah semua yang diinginkan akan ada jalan menuju ke satu tujuan. Moga segalanya dibimbing oleh redha Allah dan pastinya akan sampai jua niat yang baik menuju ke alam bahagia seterusnya.
No comments:
Post a Comment