Doktor "Adik, adik berehatlah dahulu ya dalam beberapa hari lagi". Aku mangangguk tanda faham. Sempat juga aku menjeling, dan kelihatan wajah redup doktor di saat aku ingin melangkah keluar dari kamar pemeriksaan.
Sebelumnya, aku ada terdengar bicara antara tuan doktor dan temannya satu lagi. 65? apa itu 65? sebuah angka? Benar ia sebuah angka, namun berdesir juga hati aku bila teringat kembali bahawasanya, ada perkataan hari diucapkan selepas 65.
Aku ragu-ragu, tapi tidak mampu bertanya dalam keadaan yang amat lelah tadi. Sehingga sekarang aku masih tertanya-tanya. Mungkin besok aku boleh bertanya lagi. Moga-moga ada tinggal sedikit kekuatan untuk aku melakukan pertanyaan besok.
Aku masih mencuba untuk mengingat kembali penerangan doktor satu jam yang lalu. Masih samar-samar. Mungkin inilah buat aku menjadi risau. Tidaklah panjang apa yang diberitahukan doktor kepadaku, cuma aku telah lupa. Mungkin kerana aku hanya angguk-angguk tanda aku faham dan dengar seperti doktor itu rasakan.
Sebenarnya, aku angguk tanda letih dan memenatkan di tubuh. Berat kepala masih tidak mahu lepas dari bantal berwarna hijau ini. Pandangan kelihatan kekuningan, nafas aku semakin terasa panas sejak dari semalam. Apa sebenarnya terjadi pada kisah aku kali ini?
Ya Allah...
Mahu tidak mahu, aku harus segera pulang besok. Jika di tahan lagi, aku akan tetap keras ingin pulang. Aku mahu berjumpa ibu dan keluarga. Sakitnya aku mungkin tidaklah sampai ke fikiran buruk yang telah aku lewati tadi. Mungkin saja aku demam rindu, tapi kenapa aku ditahan tadi? Kenapa diperiksa itu, diperiksa ini. Memang, keadaan aku amat lemah.
Tadi, nurse di sini ada memasukkan air di lenganku. Aku tidak tahu air apa itu, cuma aku ingat dan belajar dari seorang teman, itu adalah air... apa ya? Lupa lagi aku... Air biasa saja barangkali. Mujur air tadi dimasukkan setelah berbuka puasa. Aku hanya sempat meneguk beberapa kali air suam.
Di ruangan ini, hanya aku seorang. Mungkin juga tidak, kerana masih ada kederangan bunyi erangan tetangga sebelah kamar. Aku cuma dapat melihat kepingan tingkap kaca yang masih ada tinggalan air hujan. Hujan petang tadi. Sayu melihatnya. Ruangan ini juga telah dimalapkan beberapa lampu agar memudahkan pesakit melelapkan mata mereka.
Aku sahaja yang tidak mampu untuk berbuat demikian. Pening mahu muntah, berat kepala masih membeban, tapi tidak juga aku dapat merehatkan diri ini lagi. Aku masih teringatkan sesuatu yang berat semalam. Sesuatu rahasia yang telah diketahui olehnya dan aku tak mampu untuk menerangkannya kembali.
Ya sudahlah, aku mungkin tak akan lama lagi. Lebih cepat aku pergi, itu akan hanya membuatkan penderitaan aku menjadi sebentar saja. Aku redha. Aku akur, di atas semua ketentuanNya...
No comments:
Post a Comment