Malam ini, mengantuk yang di tahan-tahan, buat aku menulis sampai ke laut. Jari-jemari kasar ini menaip ikut suka hati. Tidaklah tahu tujuan apa yang ingin di karang sekarang ini. Cuma tergerak intuisi menulis melalui pedoman yang dilalui sedari pagi tadi hinggalah sampai saat ini.
Baiklah, pagi tadi sibuk dengan lamunan mimpi. Bangun telat lagi. Sahur sudah. Itupun sebelum aku masuk tidur, pukul 3 pagi. Aku harus bangun cepat-cepat, niat dalam hati. Namun cepat itu pula jadi lambat. Mungkin kerana tidurku tersentak sebentar-sebentar, kerana gigitan nyamuk sambung menyambung di seluruh badan.
Setelah subuh ditunaikan, sambung melelap lagi. Aku hairan mengapa nyamuk tidak mengigit lagi. Rupanya mereka juga tidur keletihan, atau tidur dalam kekenyangan menghisap darah manis ku. Aku cuma tersenyum. Alahai nyamuk... manjanya korang. Dalam hati senyum sendiri, mungkin lepas ini lena yang sebenarnya lena dapat aku raih dalam tidur.
Aku terlantar di atas sofa putih. Tak mampu lagi badan menahan cucukan dari simen yang tidak beralas lagi. Badan jadi pegal sana sini. Kesan pegalnya seperti orang kerja buruh dari pagi sampai ke pagi. Memang tak nafi, badan ini jadi lemah tak bermaya, oleh kerana tidur di tempat sembarangan.
Tidak sedar aku, jam sudah mahu sampai ke 9 pagi. Aku bangkit dan lalui rutin seperti biasa. Mencedok air segayung untuk seluruh badan. Wah, segar juga. Tak perlu membazir. Setelah itu aku berdandan mahu ke tempat kerja. Tak jauh pun. Hanya di kota kampung. Kampung Baru.
Aku membawa diri ke tempat kerja dengan hati separuh mahu hidup. Aku kerja dengan separuh sungguh-sungguh. Sampai detik yang tak terjangka. Singgah sms pemberi semangat. Aneh itu memang aneh. Tiba-tiba pula si cik adik manis ini sms. Tak pernah pun selama ini nak sms. Melainkan aku yang mulakan dulu cari jalan mahu ber-sms-an padanya.
Cik adik manis ini pula dengan gembiranya perihatin terhadap aku. Teruja hingga kepalang aku membacanya. Wah, ada juga orang yang ingin ambil berat pada aku yang tak berapa nak pandai mencairkan hati wanita. Aku pun dengan syahdunya membalas.
"Wa'alaikumusalam. Happy sgt ari ni. Dpt bonus ea?" Balasan dari soalan yang dia pertanyakan "Assalamualaikum :) ady, ke manakah menghilang? Byk kje ek?"
Sepertinya tidak menepati jawapan aku terhadap pertanyaannya. Oh, mungkinkah tidak akan tersambung lagi sms ini. Aku risau dan pasrah. Tidak mengapalah, lagipun aku sedang bekerja. Mungkin kalau dia tidak membalasnya kembali, aku tidaklah terfikir sangat, ataupun berkecil hati.
Tapi, aku terhenti sebentar dari meneruskan kerja. Aku jadi penasaran. Lebih baik aku balas lagi. "nape, rindu" Sengaja cari perhatian walau tahu diri ini pasti tidak pernah terlintas untuk dirindui oleh perempuan cantik.
Eh..eh.. dia balas lagi lah... detik hati gediku "Xdelah..sj btnya kbar..x leh ea?" Uit, apakah yang terjadi pada diri hambamu ini ya Allah. Adakah ini namanya jodohku. Aku perasan sendiri. Kemudian datanglah sifat macho kepura-puraan ku dalam membalasnya kembali.
"X pkse tanye tp tq krn risau. rase t'haru sket"
Ceh. Macamtukah "macho"?! Ayoyo. Bujang seperti apakah aku ini menggunakan bahasa seperti itu...
Sudahlah sampai sini saja dulu. Aku mahu sudahi dulu kisah ini dengan berwajahkan sedih ingin tidur. Ketika ada waktu semangat menulis, datang pula rasa ingin tidur. Tadi ketika minda lagi senggang, tidak pula mahu berganjak terus melalokkan diri di kamar peribadi.
Aduhai. Besok-besok sajalah cerita ini dilanjutin. Salam wahai "blog" ku. Istilah bagi perempuan-perempuan yang suka akan blog kesayangan mereka. Wah ahai. Aku menjadi candu pula menulis di blog ini.
Ini semua gara-gara dari pelajaran adik kesayangan aku yang tak lama lagi ingin ambil PMR. Akhir kata buat adik Lana atau panggilan nakal dari teman-temannya, Jue. Buat yang terbaik, abang tak putus-putus mendoakan kejayaan buat kamu. Ingat segala pesan abang ya :)
No comments:
Post a Comment